ADUN Sentosa cadang penubuhan Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan penubuhan satu Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam di peringkat nasional bagi menangani isu-isu berkaitan rumah ibadat dan sensitiviti agama bukan Islam secara lebih tersusun, sistematik dan inklusif.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George, cadangan agar kewujudan lembaga ini dapat melengkapi peranan struktur sedia ada di peringkat negeri seperti Jawatankuasa Lima Agama (RIBI).
Jawatankuasa itu, ujarnya, kini berfungsi sebagai saluran komunikasi antara komuniti agama dan kerajaan, menyelesaikan isu antara agama secara harmoni, menganjurkan program bersama serta memberikan nasihat dasar berkaitan perpaduan.
“Secara idealnya, sebuah lembaga penasihat di peringkat kebangsaan yang bekerjasama rapat dengan RIBI bukan sahaja dapat memperkukuh usaha melaksanakan penguatkuasaan menangani isu rumah ibadat, malah mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang sering membelenggu komuniti bukan Islam.
"Ini termasuk penggunaan istilah yang mengelirukan dan menyinggung perasaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau merujuk kepada penggunaan istilah seperti “kuil haram”, yang disifatkannya sebagai tidak tepat dari segi undang-undang mahupun budaya.
“Ramai yang tidak sedar bahawa banyak rumah ibadat bukan Islam sebenarnya sah berdaftar dan mempunyai dokumen lengkap.
"Namun apabila istilah seperti ‘kuil haram’ digunakan semata-mata berdasarkan struktur fizikal tanpa mengambil kira konteks sejarah atau status sebenar, ia memberi persepsi negatif yang tidak adil terhadap agama tersebut,” tegas beliau.
Gunaraj menekankan keperluan pendekatan yang berasaskan kefahaman dan saling menghormati dalam menangani isu rumah ibadat serta zon guna tanah.
Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam yang dicadangkan ini boleh memainkan peranan penting dalam menyelaras pendaftaran rumah ibadat bukan Islam, menjadi pengantara dalam isu tanah dan zon guna tanah, menyediakan garis panduan serta nasihat kepada pertubuhan agama dan merangka dasar dan pendekatan yang lebih inklusif bagi memastikan keadilan kepada semua komuniti agama.
“Penggunaan istilah seperti ‘struktur tidak berdaftar’ atau ‘bangunan tanpa kelulusan’ adalah lebih tepat dan profesional, serta lebih menghormati sensitiviti semua pihak.
"Namun, kita perlukan institusi khusus yang mempunyai kepakaran dan autoriti untuk memberikan nasihat serta panduan dalam hal ini,” tambahnya.
Sebagai langkah susulan, Gunaraj turut menggesa Kementerian Perpaduan Negara, terutamanya melalui Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA), agar memperkukuh peranannya dalam pendidikan dan advokasi perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


