KEMAS pasang CCTV di taska kena samun

Sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini disamun tiga lelaki bersenjata pada Isnin.
Sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini disamun tiga lelaki bersenjata pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melaksanakan langkah keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taman bimbingan kanak-kanak (taska) Tali Air 11, Pasir Panjang di sini selepas insiden samun bersenjata parang pada Selasa.

Menjalankan Tugas Pegawai KEMAS Daerah Sabak Bernam, Zainurin Jubri berkata, selain memasang CCTV sebagai langkah pemantauan berterusan, pihaknya juga akan memastikan pagar dikunci tepat pada masanya setiap hari.

"Kami memandang serius kejadian yang berlaku kerana ia melibatkan keselamatan tenaga pengajar dan kanak-kanak.

"Sebagai langkah segera, CCTV akan dipasang dalam dan luar premis serta sistem kunci akan dinaik taraf," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zainurin, pihaknya juga akan memperketat prosedur operasi standard (SOP) keselamatan termasuk pemantauan masa buka dan tutup pagar.

Menurutnya, walaupun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, KEMAS tidak berkompromi dalam aspek keselamatan.

"Kita akan pastikan kejadian sebegini tidak berulang kerana fokus utama adalah keselamatan murid dan petugas,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Pengarah KEMAS Selangor, Noorazman Ab Rahman turut hadir dan meninjau ke taska itu pada Rabu.

"Pihak pengurusan sudah melawat lokasi bagi melihat sendiri keadaan selepas insiden berlaku serta memberikan sokongan kepada petugas di taska tersebut," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, tiga lelaki bersenjatakan parang bertindak nekad menyamun sebuah taska sebelum bertindak agresif dengan menampar seorang guru wanita dalam kejadian di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu dilaporkan berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kedatangan kanak-kanak di Taska itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!