'Cincin tak tanggal, saya ditampar' – Guru mangsa samun bersenjata

SABAK BERNAM – “Saya dah cuba buka cincin, tapi ketat sangat. Suspek bersenjata parang marah, terus tampar saya sampai jatuh.”
Demikian detik cemas dilalui seorang guru wanita yang menjadi mangsa samun tiga lelaki bersenjata parang dalam kejadian di sebuah taman bimbingan kanak-kanak (taska) di Tali Air 11, Pasir Panjang, di sini pada Isnin.
Guru berusia lingkungan 40-an itu berkata, dia ditampar di pipi kanan selepas gagal menanggalkan cincin emas yang cuba dilarikan oleh salah seorang suspek.
“Lepas tu, suspek cuba lagi nak ambil cincin, tapi masih tak boleh dan kemudiannya tampar saya lagi, kali ini di pipi kiri.
“Bila saya berjaya buka, saya campak cincin ke lantai, tapi suspek tak ambil pun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu, ketiga-tiga suspek menaiki sebuah Perodua Bezza sebelum menyerbu masuk ke dalam taska berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, tiga lelaki tempatan itu melarikan seutas rantai emas, dua utas gelang, sebentuk cincin dan sebuah telefon bimbit.
“Semasa kejadian terdapat dua guru wanita, seorang pembantu dapur serta 10 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun di dalam taska.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan ke atas kanak-kanak,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dengan senjata.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda dan sebatan,” jelas beliau.
Pihak polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!