Tiga lelaki berparang samun taska, tampar guru depan budak

Tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini pada Isnin.
Tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah taska dan bertindak agresif dengan menampar seorang guru wanita dalam kejadian di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu dilaporkan berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kedatangan kanak-kanak di taska itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang tenaga pengajar yang memaklumkan disamun tiga lelaki tempatan menaiki kereta Perodua Bezza.

“Ketiga-tiga suspek bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam premis dan melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit milik dua guru terbabit.

"Polis menerima maklumat, salah seorang suspek bersenjatakan parang bertindak agresif dengan menampar guru wanita terbabit sebanyak dua kali di bahagian pipi kiri dan kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian terdapat dua guru, seorang pembantu dapur dan 10 kanak-kanak di premis berkenaan.

"Bagaimanapun tiada kanak-kanak cedera, namun dua guru taska mengalami kerugian selepas barangan kemas dan telefon bimbit jenama Realme dilarikan suspek," ujar beliau.

Md Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dengan senjata.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun serta denda dan sebatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!