Tak mampu upah peguam, Jaksa Pendamai sedia mediasi percuma

Jason Goh (enam dari kiri) bersama Ahmad Fadzli (lima dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Pejabat SUK di Shah Alam pada Selasa.
Jason Goh (enam dari kiri) bersama Ahmad Fadzli (lima dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Pejabat SUK di Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Selangor khususnya golongan kurang berkemampuan yang berdepan pertikaian sesama jiran atau masalah rumah tangga boleh mendapatkan khidmat mediasi secara percuma menerusi Majlis Jaksa Pendamai Selangor.

Presidennya, Tan Sri Jason Goh Teck Chai berkata, perkhidmatan itu bertujuan membantu masyarakat mencari penyelesaian secara baik tanpa perlu menanggung kos khidmat mediasi.

Menurutnya, sebuah pusat mediasi dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kini beroperasi di Plaza Majlis Bandaraya Diraja Klang, manakala satu lagi akan ditubuhkan di Shah Alam selepas mendapat kelulusan Mahkamah Persekutuan.

“Ada orang tak mampu jumpa peguam. Dia datang berjumpa dengan kita. Apa yang penting, mediasi ini kedua-dua pihak kena datang ke pejabat kita dan kita akan jadi orang tengah.

“Kalau satu nak datang, satu tak dapat hadir pun kita tak boleh bantu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Jason Goh berkata, antara pertikaian yang boleh dirujuk termasuk salah faham sesama jiran, isu parkir kenderaan dan masalah rumah tangga.

Jelasnya, proses mediasi dimulakan dengan menemu bual setiap pihak secara berasingan sebelum mereka dipertemukan bagi mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama.

Katanya, sekiranya persetujuan dicapai, borang penyelesaian akan dilengkapkan untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 190 ahli Jaksa Pendamai di Selangor akan digerakkan bagi memperkukuh perkhidmatan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya juga telah memohon pertimbangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin untuk memberikan ruang pejabat khas di semua majlis daerah bagi memudahkan operasi pusat mediasi.

“Sekarang banyak orang kena bayar. Jadi saya dah suruh semua ahli Jaksa Pendamai beri perkhidmatan percuma seperti khidmat nasihat, perantara dan pengesahan dokumen di pusat mediasi.

“Kita sebagai ahli Jaksa Pendamai nak buktikan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa kita akan memainkan peranan mulai sekarang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Jaksa Pendamai Selangor menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!