'Saya reda sekiranya itulah harganya' - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan beliau bersedia menghadapi sebarang keputusan yang ditentukan menerusi sistem perundangan negara.

Mohd Shuhaily berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau akan didakwa di mahkamah pada Rabu berhubung insiden melibatkan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Menurutnya, seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, usaha melakukan perubahan demi memperkukuh kawalan sempadan negara mempunyai harga yang perlu dibayar.

“Esok (Rabu) saya bersedia untuk menghadapi proses sistem perundangan negara.

“Saya reda dan menghormati apa juga keputusan serta akan hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan dan doa dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang terus mendoakan dan mempermudahkan urusan saya menjalankan tugas,” katanya.

Mohd Shuhaily turut mengesahkan bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai proses pertuduhan yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sepang pada pagi Rabu.

Beliau dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan kertas siasatan kes tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, AGC meminta beberapa penambahbaikan dibuat terhadap kertas siasatan sebelum keputusan lanjut diambil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!