Paderi maut dihempap salib ketika beri peringatan tentang kematian

Rakaman menunjukkan salib itu tumbang secara tiba-tiba lalu menghempap paderi itu ketika beliau berdiri di belakang altar menghadap orang ramai yang hadir pada upacara tersebut. - FOTO: Agensi
Rakaman menunjukkan salib itu tumbang secara tiba-tiba lalu menghempap paderi itu ketika beliau berdiri di belakang altar menghadap orang ramai yang hadir pada upacara tersebut. - FOTO: Agensi
A
A
A

GUAYAQUIL - Seorang paderi Katolik di Ecuador meninggal dunia selepas sebuah salib besar yang tergantung di belakangnya terjatuh lalu menghempap kepalanya ketika beliau sedang mengendalikan misa yang disiarkan secara langsung.

Kejadian itu berlaku beberapa saat selepas Patricio Alfredo Sanchez Molinari menyampaikan peringatan mengenai kematian.

"Satu hari nanti kita semua akan mati. Kita tidak sepatutnya mensia-siakan hidup dengan perkara tidak berfaedah. Luangkan lebih banyak masa dengan Tuhan dan insan tersayang," katanya sebelum tragedi itu.

Rakaman menunjukkan salib itu tumbang secara tiba-tiba lalu menghempap paderi itu ketika beliau berdiri di belakang altar menghadap orang ramai yang hadir pada upacara tersebut.

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan kedengaran jeritan beberapa individu yang terkejut dengan insiden itu. Pasukan penyelamat yang bergegas ke lokasi mengesahkan beliau sudah meninggal dunia.

Kepimpinan Tertinggi Gereja Guayaquil turut mengesahkan kematian tragik Molinari menerusi satu kenyataan yang menyatakan kesedihan atas kehilangan paderi tersebut yang berkhidmat di Gereja Our Lady of Perpetual Help.

Punca salib berat itu tercabut dari dinding masih belum diketahui berikutan pihak gereja belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi berhubung kejadian berkenaan. - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!