LZS, SPNB bergabung bina semula rumah asnaf

SHAH ALAM - Kerjasama Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membolehkan rumah golongan asnaf daif atau musnah akibat bencana dibina semula menerusi gabungan wang zakat dan subsidi kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, kerjasama itu memanfaatkan kepakaran SPNB dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat bagi membantu asnaf yang memerlukan kediaman lebih selamat dan selesa.
Menurutnya, antara masalah dihadapi golongan penerima zakat bukan hanya berkaitan keperluan makanan dan kesihatan, malah turut membabitkan tempat tinggal.
"Ada kes rumah mereka ditimpa bencana seperti kebakaran atau banjir sehingga perlu dibina semula.
"Menerusi kerjasama dengan SPNB, kita menggunakan kepakaran mereka dalam pembinaan rumah untuk membantu asnaf yang memerlukan," katanya ketika ditemui selepas Sepetang bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor di sini pada Selasa.

Mohd Khaidzir memberitahu, harga sebuah rumah yang dibina SPNB dianggarkan antara RM70,000 hingga RM90,000, manakala kerajaan menyediakan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit.
Katanya, bagi rumah berharga RM70,000, baki RM50,000 boleh ditampung menggunakan wang zakat, sekali gus mengurangkan kos pembinaan berbanding kaedah tanpa kerjasama berkenaan.
Mohd Khaidzir memberitahu, penerima bantuan perlu memenuhi syarat kelayakan tertentu termasuk mempunyai hak milik tanah yang sah bagi membolehkan rumah dibina di atas tanah berkenaan.
"Antara kes boleh dipertimbangkan ialah asnaf yang mempunyai tanah pusaka tetapi rumah mereka daif atau mengalami kerosakan teruk akibat bencana.
"Golongan Orang Asli memeluk Islam juga boleh dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan termasuk berkaitan hak ke atas tanah," jelas beliau.
Menurutnya, Zakat Selangor menyasarkan pembinaan dua rumah dengan calon yang sedang dikenal pasti menerusi kerjasama itu pada tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah rumah dibina pada masa depan bergantung kepada keperluan semasa dan bukannya berdasarkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang tetap.
Dalam pada itu, katanya, kutipan zakat di Selangor pada tahun ini masih bergantung kepada prestasi tiga bulan terakhir susulan cabaran peningkatan kos barangan dan harga minyak.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kutipan setakat September masih berada pada landasan untuk mencapai sasaran ditetapkan, namun prestasi Oktober hingga Disember menjadi penentu pencapaian keseluruhan tahun ini.
"Zakat Selangor mengambil kira perkembangan ekonomi semasa termasuk kenaikan harga minyak susulan konflik di Timur Tengah dalam menilai kemampuan kutipan zakat bagi tahun ini.
"Kita melakukan penilaian tekanan (stress test) untuk melihat anggaran kutipan yang boleh dicapai tahun ini," jelas beliau.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terlalu yakin dengan pencapaian itu berikutan jumlah zakat yang dibayar bergantung kepada taksiran individu.
Sehubungan itu, Mohd Khaidzir menggalakkan umat Islam yang layak menunaikan zakat supaya berbuat demikian sebelum berakhirnya tahun ini.
Katanya, pembayaran zakat sebelum 31 Disember membolehkan pembayar memperoleh resit bagi tujuan tuntutan rebat cukai untuk tahun taksiran 2026 tertakluk kepada syarat ditetapkan.
"Apabila pembayaran dibuat selepas tahun 2026, resit ini tidak lagi boleh digunakan untuk tuntutan rebat cukai bagi tahun taksiran 2026,” tambah beliau.
Beliau berkata, kempen zakat hujung tahun 'Kerana Zakat' dengan slogan 'Kita Peduli' turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peranan zakat dalam membantu golongan asnaf.
"Sumbangan zakat yang disalurkan membantu memenuhi pelbagai keperluan penerima termasuk tempat tinggal, pendidikan, perubatan dan perusahaan," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

