Selangor teliti dakwaan jadi pintu masuk babi hidup - Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyemak isu berkaitan kemasukan babi hidup dari negeri lain yang didakwa menggunakan negeri itu sebagai pintu masuk sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu kerana ia turut membabitkan negeri lain.

"Saya tengah siasat sebab negeri lain yang hendak membawa masuk bekalan (babi hidup) dan pintu masuknya di Selangor.

"Saya perlu menyiasat dan menyemak semula perkara itu sebelum kita mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Kerjasama Air Selangor, Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) di sini pada Selasa.

Terdahulu, kemasukan babi hidup ke Selangor kembali menjadi perhatian susulan jemputan sidang media oleh Pengerusi Koperasi Pulau Indah, Datuk Abdul Rahman Palil dan Pengerusi Pengkalan Nelayan Sungai Pinang, Pelabuhan Klang pada 16 Oktober lalu.

Bagaimanapun, sidang media yang dijadualkan diadakan di sebuah restoran di Shah Alam itu ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Jemputan sidang media itu bagi membincangkan isu berkaitan kemasukan babi hidup ke negeri Selangor, namun butiran lanjut mengenai perkara itu tidak dinyatakan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!