Pasang butang panik, sistem amaran di taska

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memperkasa prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang menyeluruh di semua taska dan tadika termasuk penggunaan teknologi seperti butang panik dan sistem amaran kecemasan yang menghubungkan terus ke balai polis tempatan.
Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Tarmizi A Razak berkata, inisiatif tersebut antara usaha yang wajar dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan protokol kecemasan, latihan simulasi dan mekanisme tindak balas pantas, susulan kes samun yang berlaku di sebuah taska pada Isnin.
Justeru menurutnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga perlu diwajibkan selain penyediaan sistem akses terkawal dan penempatan pengawal keselamatan bertauliah di kawasan berisiko tinggi sebagai syarat wajib lesen operasi taska dan tadika.
"Kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan harus menjalankan audit keselamatan berkala serta memperkenalkan sistem penarafan keselamatan premis pendidikan awal.
"Mana-mana taska atau tadika yang beroperasi tanpa lesen atau gagal mematuhi piawaian keselamatan minimum mesti dikenakan tindakan segera bagi mengelak risiko lebih besar kepada kanak-kanak.
"Kerajaan juga dicadang menyediakan insurans kepada taska yang berdaftar di bawah pantauan kerajaan. Semua taska dan tadika wajib mengambil pelan insurans komprehensif yang melindungi kanak-kanak dan kakitangan daripada risiko ketika beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, tiga lelaki bersenjatakan parang dilapor menyamun sebuah taska dan bertindak agresif dengan menampar seorang guru wanita dalam kejadian di Tali Air 11, Pasir Panjang.
Kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu dilaporkan berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kedatangan kanak-kanak di taska tersebut.
Mengulas lanjut Mohd Tarmizi menegaskan, kes tersebut memberi isyarat jelas bahawa tahap keselamatan di institusi pendidikan awal masih berada di tahap membimbangkan.
"Keselamatan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan nasional kerana taska dan tadika bukan sekadar tempat pembelajaran, malah merupakan ruang yang sewajarnya bebas daripada sebarang risiko jenayah dan ancaman luar," katanya.
Tambahnya, susulan kes tersebut, pihak berwajib perlu menyediakan sesi bimbingan kaunseling khusus kepada guru, pengasuh dan kanak-kanak yang mungkin mengalami trauma.
"Pemulihan emosi adalah aspek penting dalam memastikan mereka kembali pulih dan selamat secara psikologi untuk meneruskan aktiviti harian.
"GPMS percaya bahawa pelaksanaan langkah-langkah ini akan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terlindung untuk anak-anak kecil kita.
"Ini bukan hanya soal pencegahan, tetapi soal tanggungjawab moral dan amanah sosial dalam memastikan masa depan generasi negara tidak dikorbankan atas kelalaian keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
