Malaysia lihat kemajuan ketara dalam hubungan pendidikan dengan China - Zambry

RIYADH - Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, lawatan Presiden China Xi Jinping baru-baru ini sangat penting, membuka jalan baharu untuk kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan saintifik dan pelbagai sektor kerjasama dua hala yang lain.
Hubungan China-Malaysia telah berkembang dengan mantap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kemajuan ketara dalam pendidikan, kata menteri itu dalam temu bual baru-baru ini dengan Xinhua di Riyadh, ibu negara Arab Saudi.
Kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan berkembang pesat, terutama dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, yang telah menjadi bidang utama, kata Zambry.
Kekuatan China dalam teknologi hijau, kenderaan elektrik dan sektor baru muncul lain telah memberikan sokongan padu kepada pembangunan pendidikan dan perindustrian Malaysia, katanya.
Dalam bidang pengajian tinggi, Zambry menjelaskan bahawa ramai pelajar Malaysia sedang mengikuti latihan teknikal di China, sementara universiti China pula semakin mengembangkan kehadiran dan kerjasama mereka di Malaysia.
Sebagai contoh kejayaan, beliau memetik operasi Universiti Xiamen Malaysia yang kini beroperasi dengan baik, dan berkata beberapa universiti terkemuka China menunjukkan minat tinggi untuk memperdalam kerjasama.
"Kita kini menyaksikan bukan sahaja kerjasama antara universiti, tetapi juga kepercayaan bersama antara rakyat,” kata Zambry sambil menambah bahawa kedua-dua negara menggalakkan pertukaran belia.
"Golongan pelajar ini mewakili masa depan hubungan Malaysia-China. Melabur dalam pendidikan adalah pelaburan strategik untuk masa depan,” katanya.
Tambah beliau, lebih awal kedua-dua pihak memupuk persefahaman dan kepercayaan dalam kalangan generasi muda, lebih kukuh asas untuk kerjasama jangka panjang.
Melihat ke hadapan, Zambry mengenal pasti kecerdasan buatan, realiti tambahan dan teknologi hijau sebagai bidang berpotensi tinggi untuk kerjasama masa depan antara universiti China dan Malaysia.
"Sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1974, persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang,” katanya sambil menegaskan bahawa pendidikan telah menjadi salah satu tonggak paling penting dalam hubungan dua hala.
Kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah menjadi model perkongsian bagi negara Selatan Global, kata Zambry. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
