Sudah beri, tetapi tidak dihalalkan pula? Berikut penjelasan hukumnya

APABILA suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan, ia telah menjadi hak miliknya sepenuhnya dan dirinya boleh menggunakan harta itu sebagaimana dimahukan. -Foto: CANVA
APABILA suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan, ia telah menjadi hak miliknya sepenuhnya dan dirinya boleh menggunakan harta itu sebagaimana dimahukan. -Foto: CANVA
A
A
A

KETIKA perasaan gembira bertamu dalam hati, semua benda dan hadiah mahu diberikan kepada orang lain, namun tatkala sedang bergaduh atau tidak sefahaman, habis segalanya diungkit.

Bahkan, ada yang tergamak mengatakan ‘Saya tak halalkan pemberian sebelum ini’.

Situasi itu menimbulkan rasa serba salah kepada si penerima lebih-lebih lagi jika bingkisan diberikan sebelum ini berupa makanan yang sudah pun menjadi darah daging kita atau dalam bentuk wang.

Andai si pemberi menyatakan tidak menghalalkan pemberian itu, apakah hukumnya? Adakah kita perlu membayar semula duit kos makanan dan memulangkan duit tersebut?

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, apabila suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan, ia telah menjadi hak miliknya sepenuhnya dan dirinya boleh menggunakan harta itu sebagaimana dimahukan.

PEMBERI tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian itu dan penerima pula tidak wajib memulangkan semula apa yang sudah diberikan kepadanya. -Foto: CANVA
PEMBERI tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian itu dan penerima pula tidak wajib memulangkan semula apa yang sudah diberikan kepadanya. -Foto: CANVA

“Sementara itu, pemberi pula sudah kehilangan hak miliknya terhadap wang yang diberi itu.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, pemberi tiada kuasa untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut, bahkan ia boleh dianggap seperti perbuatan meminta semula pemberian,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-897: Bolehkah tidak menghalalkan pemberian yang sudah diberi yang disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan pada Rabu.

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak hadis yang melarang kita daripada meminta semula pemberian.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

SEKIRANYA si pemberi mengatakan ‘Aku tidak menghalalkan pemberian’, ungkapan tersebut sebenarnya termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan pemerimanya. -Foto: CANVA
SEKIRANYA si pemberi mengatakan ‘Aku tidak menghalalkan pemberian’, ungkapan tersebut sebenarnya termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan pemerimanya. -Foto: CANVA

Sekiranya si pemberi tadi mengatakan ‘Aku tidak menghalalkan pemberian’, pejabat mufti itu mengingatkan, ungkapan tersebut sebenarnya termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan pemerimanya.

Bahkan katanya, perilaku itu diharamkan sama sekali dan boleh meluputkan pahala sedekah jariah.

“Ingatlah, pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian itu dan penerima pula tidak wajib memulangkan semula apa yang sudah diberikan kepadanya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!