Hidup binasa bila nafsu berkuasa

Isu sosial di negara kita semakin membarah. Gambar hiasan
Isu sosial di negara kita semakin membarah. Gambar hiasan
A
A
A

ISU sosial di negara kita semakin membarah. Lihat sahaja kes mutakhir ini, pencuci kereta mengugut menyebarkan video bogel kenalan wanita di Alor Setar, Kedah yang dihukum penjara tujuh bulan.

Satu lagi kes berlaku di Kelantan apabila dua remaja dilaporkan hamil selepas melakukan perbuatan sumbang mahram dengan sepupu dan bapa saudara masing-masing di dua lokasi berasingan.

Statistik membuktikan gejala itu bukan kes terpencil. Di Kelantan, sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan pada 2024, meningkat 22.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lebih membimbangkan, 90.98 peratus kes melibatkan hubungan suka sama suka bawah umur.

Di peringkat nasional pula, 1,389 kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak dicatatkan pada 2023, meningkat 21.1 peratus berbanding 2022.

Turut direkodkan, 91 kes amang seksual bukan fizikal dan 67 kes pornografi kanak-kanak pada dua tahun lalu.

Sementara itu, kes ugutan penyebaran gambar bogel juga dikesan semakin meningkat.

Walaupun tiada data rasmi terkini, ia selari dengan penyalahgunaan teknologi dan media sosial oleh golongan muda yang semakin membimbangkan.

Walaupun bentuk kes berbeza, kedua-duanya berakar daripada satu punca iaitu kecelaruan moral akibat pengabaian terhadap ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

Baik ugutan menyebarkan gambar bogel mahupun hubungan luar nikah bawah umur, ia menunjukkan lemahnya kawalan nafsu dan hilangnya rasa malu serta takut kepada ALLAH.

Bila nafsu menjadi raja, akal pula diletakkan sebagai hamba, maka timbullah alasan seperti ‘semua orang buat’, ‘hidup sekali sahaja’ atau ‘ini hal peribadi’. Sedangkan hakikatnya, hidup ini bukan tentang memuaskan kehendak diri semata-mata.

Islam mengajar kita untuk menjaga maruah diri, memelihara pandangan dan menundukkan hawa nafsu.

Namun, apabila didikan agama tidak diterapkan sejak kecil atau kerana kelalaian, itulah akibatnya.

Penulis teringat pesanan Pensyarah Kanan di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad ketika menemu bualnya sebelum ini.

Beliau mengingatkan, perbuatan maksiat yang dilakukan secara berterusan akan menghalang rahmat ALLAH.

Bahkan katanya, hidup jadi semakin sulit, doa tidak dimakbulkan, hilang ketenangan hati dan pelaku maksiat pula akan mula mengalami gangguan fizikal serta mental.

Ketagihan menonton bahan lucah misalnya, bukan sekadar mengikis iman tetapi juga memendekkan umur dengan menjejaskan kesihatan.

Malah, diri dikuasai nafsu dan akal ditawan bayangan kotor, akhirnya pelaku tenggelam dalam gelora yang memusnahkan.

Justeru, penyelesaian bukan terletak pada hukuman semata-mata, tetapi pada pendidikan. Pendidikan agama yang bersifat menyeluruh sejak usia muda bukan sekadar teori, tetapi amalan harian.

Betapa pentingnya ada contoh teladan dalam keluarga, persekitaran yang sihat dan pengawasan teknologi yang lebih ketat.

Kita sebagai masyarakat pula, jangan sekadar mengecam dari jauh. Sebaliknya, hulurkan bimbingan dan tunjukkan jalan keluar. Masyarakat yang benar-benar berfungsi membantu menyuluh cahaya kepada mereka yang tersasar.

Apa pun, kita perlu kembali kepada nilai Islam yang menitikberatkan maruah, akhlak dan tanggungjawab.

Andai benar mahu melihat perubahan, ia mesti bermula dari rumah sendiri.

Ingatlah, setiap dosa dan maksiat, walau sekecil mana, tetap akan dihitung. Jangan tunggu sehingga diri sendiri atau keluarga kita menjadi mangsa, baru mahu insaf.

Mengertilah, bila nafsu memimpin, hidup akan binasa. Hanya dengan iman dan ilmu, manusia mampu kembali waras.

*Nurulfatiha Muah ialah Penolong Editor Sinar Islam Plus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!