Sakit kronik jejas emosi, mental kanak-kanak

Laporan Sinar Harian pada 28 Mac lalu. Gambar kecil: Nadzirah
Laporan Sinar Harian pada 28 Mac lalu. Gambar kecil: Nadzirah
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, yang mempunyai masalah jantung berlubang sejak kecil cenderung mengalami tekanan emosi apabila mereka tidak mampu melakukan aktiviti seperti rakan sebaya mereka.

Penolong Profesor dan Ahli Psikologis Klinikal, Jabatan Psikiatri Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr Nadzirah Ahmad Basri berkata, apabila kanak-kanak kurang melibatkan diri dalam aktiviti sosial atau berinteraksi bersama rakan atau keluarga, ia menyebabkan mental dan keyakinan diri mereka terjejas.

“Daripada kecil, kanak-kanak termasuk mereka yang mempunyai penyakit kronik memerlukan ruang sosial untuk berkembang secara sihat termasuk belajar bertoleransi, mengawal emosi dan membina keyakinan diri.

“Bila mereka tidak dapat bermain atau berinteraksi seperti biasa, mereka mungkin rasa sunyi, ketinggalan atau rendah diri,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan anak bongsu daripada tiga beradik itu menghidap simptom masalah jantung berlubang sejak bayi lagi.

Harris Rayyan dijadualkan menjalani pembedahan jantung berlubang di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 Mei ini.

Ujar Nadzirah, peranan ibu bapa dan ahli keluarga penting dalam memastikan aktiviti harian kanak-kanak seperti Muhammad Harris Rayyan sesuai dengan kemampuan fizikal mereka tanpa terlalu menyekat atau memanjakan mereka.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan bagi merangsang deria dan kemahiran motor kanak-kanak.

“Sebaiknya kanak-kanak perlu diberi kebebasan bermain walaupun tidak terlalu kasar atau memerlukan tenaga fizikal yang banyak.

Artikel Berkaitan:

“Namun, jika ibu bapa, guru atau orang sekeliling dapat pelbagaikan lagi rangsangan deria kanak-kanak, itu sangat baik dalam membantu dari segi perkembangan psikomotor mereka.

“Pada masa sama, menjelaskan kepada kanak-kanak bahawa mereka juga ada had dalam melakukan aktiviti fizikal atau bermain,” ujarnya.

Kata beliau, ibu bapa juga terkesan dari segi emosi dan tekanan kewangan kerana penyakit kronik seperti masalah jantung berlubang memerlukan kos tinggi.

“Sudah tentu keluarga pesakit akan rasa sedih dan risau dengan keadaan anak mereka. Selain memikirkan kewangan, mereka juga perlu ambil cuti untuk berulang-alik ke hospital bagi membuat rutin pemeriksaan dan sebagainya.

“Itu memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan kewangan.

“Sudah tentu mereka memerlukan sokongan sosial daripada orang sekeliling termasuk ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf 5642 7652 9068 atau hubungi talian 03-5101 7388 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!