Rizab antarabangsa Malaysia naik kepada AS$118.4 bilion

KUALA LUMPUR - Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada AS$118.40 bilion setakat 15 April, 2025 daripada AS$117.50 bilion pada 28 Mac, 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata, kedudukan rizab berkenaan memadai untuk membiayai 4.9 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab itu merangkumi rizab mata wang asing (AS$105.3 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (AS$5.8 bilion), emas (AS$3.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.2 bilion).
Jumlah aset berjumlah RM633.65 bilion, merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk hak pengeluaran khas (RM525.06 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.72 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM3.65 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM27.01 bilion), tanah dan bangunan (RM4.59 bilion), serta aset-aset lain (RM60.63 bilion).
BNM berkata, keseluruhan modal dan liabiliti berjumlah RM633.65 bilion, merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM186.05 bilion), mata wang dalam edaran (RM176.41 bilion), deposit institusi kewangan (RM143.44 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM10.64 bilion), lain-lain deposit (RM74.79 bilion), kertas Bank Negara (RM10.57 bilion), peruntukan hak pengeluaran khas (RM28.38 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.72 bilion). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!