Exco Perak pertahan tindakan isu karikatur

IPOH - Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong mempertahankan tindakannya berhubung isu karikatur didakwa menggunakan wajah Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan salah satu kaedah sindiran berdasarkan fakta yang menjadi salah satu aspek dalam demokrasi.
Jelasnya, terdapat juga sindiran yang tidak berdasarkan fakta yang terdedah kepada risiko disaman kerana fitnah.
"Dalam demokrasi, anda boleh sindir dan saya boleh menentangnya dan pada masa yang sama, saya boleh sindir dan anda boleh menentangnya. Ini hak masing-masing.
"Ini adalah salah satu keunikan demokrasi. Saya tahu, ada yang koyak dengan gambar kenyataan media saya," katanya ketika menggulung perbahasan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Kah Leong berkata, Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai hak mempamerkan karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Sebalik tindakan tersebut bagaimanapun katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak pun meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan.
"Inilah contoh politik yang paling tidak matang sekali yang ditunjukkan lantaran bila PN berbuat demikian, kami kritik sahaja dan bukannya minta polis dan SKMM masuk, menghentikan tindakan ini pun.
"Tapi apabila PN dikritik, mereka pula menjadi cry babies dengan izin dan minta polis dan SKMM masuk," katanya lagi.
Terdahulu Razman menuntut Kah Leong memohon maaf secara terbuka di dalam sidang DUN berhubung penyiaran kandungan berunsur provokatif terhadapnya di media sosial.
Beliau kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar itu yang menggunakan gambarnya dan disunting seperti badut dalam satu hantaran di Facebook yang didakwa bersifat jelik dan menghina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!