'1985 detik manis bola sepak Johor'- Kamarudin Ahmad

Kamaruddin.
Kamaruddin.
A
A
A

TAHUN 1985 kekal terpahat dalam sejarah bola sepak negeri Johor apabila pasukan Johor FA menjuarai Piala Malaysia, kejayaan yang disifatkan sebagai detik paling manis dalam karier bekas pemainnya, Kamaruddin Ahmad.

Mengimbau kembali pencapaian gemilang itu, Kamaruddin menyifatkan kejayaan Johor FA menawan puncak bola sepak tanah air sebagai hasil kesepaduan dan keserasian mantap antara barisan pemain ketika itu.

"Gabungan pemain muda berbakat seperti Dollah Salleh, Nasir Yusof dan Khalid Shahdan bersama pemain berpengalaman menjadikan pasukan kami cukup kuat dan berdaya saing," katanya.

Beliau turut menyifatkan musim 1985 sebagai musim bertuah yang menyaksikan segala perancangan membuahkan hasil.

"Segala yang dilakukan pada tahun itu ibarat langkah kanan. Semua menjadi. Setiap usaha dan perancangan memberi impak positif kepada pasukan Johor FA," katanya penuh bangga.

Antara detik yang paling diingati oleh beliau ialah perlawanan suku akhir Piala Malaysia 1985 yang dianggap sebagai titik tolak kepada kebangkitan semangat juang luar biasa dalam kalangan pemain.

"Kemenangan itu membakar semangat kami untuk terus mara ke perlawanan akhir, dan akhirnya menjulang trofi yang diidamkan," tambahnya.

Sebagai rekod, Johor dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia pada tahun tersebut, dan sambutan luar biasa rakyat Johor ketika membawa pulang trofi ke tanah air disamakan dengan suasana Hari Kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat turun beramai-ramai menyambut kami seperti wira negara. Ia membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi nadi penyatuan rakyat Johor," jelasnya.

Kamaruddin turut menyatakan keyakinan bahawa barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) masa kini berpotensi besar untuk mengulangi sejarah kegemilangan tersebut, khususnya dalam menghadapi perlawanan menentang Sri Pahang FC.

"Pasukan JDT hari ini antara yang terbaik di negara ini. Mereka bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal tinggi, tetapi juga kekuatan mental dan disiplin yang mantap," ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan JDT di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"TMJ telah mengangkat martabat JDT ke tahap profesional dengan pelaburan dan visi yang jelas. Kejayaan kelab ini kini menjadi model kepada pasukan lain di Malaysia dan rantau ini," katanya lagi.

Bagi Kamaruddin, kejayaan 1985 bukan sekadar kenangan indah, tetapi simbol perjuangan dan semangat yang tidak pernah padam.

"Semangat itu akan terus menyala dalam jiwa saya. Saya percaya, detik kegemilangan itu bakal kembali – dengan wajah dan nama baharu, namun dengan semangat yang sama membara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!