Isu tajaan Mara: Ibu bapa pelajar UNISHAMS gesa campur tangan Anwar, Asyraf Wajdi

Dari kiri: Adi Muzzaimie, Rosazmi dan Tajul Ariffin ketika sidang media tertutup bersama beberapa ibu bapa pelajar perubatan UNISHAMS, di Bidor pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN.
Dari kiri: Adi Muzzaimie, Rosazmi dan Tajul Ariffin ketika sidang media tertutup bersama beberapa ibu bapa pelajar perubatan UNISHAMS, di Bidor pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN.
A
A
A

BIDOR - Seramai 50 pelajar kohort ke-11 program perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) dipercayai berdepan tekanan kewangan serius apabila permohonan tajaan pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) belum mendapat kelulusan sepertimana dijanjikan.

Wakil ibu bapa penuntut perubatan UNISHAMS, Rosaszmi Shaari, 53, mendakwa, ketika taklimat waris yang dianjurkan pihak universiti pada Oktober tahun lalu, pihaknya dimaklumkan bahawa proses mendapatkan tajaan Mara tidak terlalu rumit.

Menurutnya, pelajar juga disaran memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terlebih dahulu untuk semester pertama sebagai langkah alternatif dan boleh menamatkan pembiayaan apabila menerima tawaran Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) Mara pada semester kedua.

Bagaimanapun, menurut pesara kerajaan tersebut, pihaknya diberitahu bahawa pada November tahun sama, terdapat perubahan polisi oleh Mara tanpa makluman awal kepada pihak universiti.

“Sebelum ini tak ada isu tentang TESP Mara, tetapi anak-anak kami diarahkan oleh pihak universiti untuk mohon dua pinjaman serentak iaitu Mara dan PTPTN. Bimbang ada masalah kewangan memandangkan pinjaman Mara masuk lewat.

“Tetapi, ketika November 2024, Mara keluar pekeliling mengatakan pelajar yang dah terima PTPTN tak layak mohon Mara sedangkan mereka kata boleh batalkan PTPTN selepas dapat tawaran TESP Mara.

“Perkara ini pun tidak sampai kepada pengetahuan pengurusan UNISHAMS. Jadi, permohonan Mara semuanya ditolak dan PTPTN pula tak beri pinjaman penuh sekitar 50 hingga 70 peratus sahaja bergantung pendapatan keluarga, selebihnya ibu bapa tanggung sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media tertutup bersama beberapa ibu bapa pelajar perubatan UNISHAMS, di sini pada Selasa.

Rosaszmi berpandangan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana universiti lain di bawah kelolaan Mara yang pernah berdepan situasi sama sebelum ini telah diambil tindakan oleh pihak berkenaan, namun bukan UNISHAMS.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pembiayaan keseluruhan bidang perubatan untuk lima tahun di UNISHAMS lebih rendah iaitu RM250,000 jika dibandingkan dengan universiti swasta lain yang mencecah RM300,000 hingga RM600,000, tidak termasuk kos keperluan sara diri serta tanggungan hutang.

Justeru, kata Rosazmi, pihaknya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menyelesaikan kemelut yang melanda ibu bapa dengan kadar segera.

“Kami sangat buntu, kalau tak selesaikan tunggakan hutang dengan universiti, anak kami akan ditendang keluar. Bukan itu sahaja, setakat ini dua pelajar sudah tarik diri dan yang lain masih dilema sama ada nak teruskan belajar atau tidak.

“Rugi sangat kalau anak-anak Melayu ini yang majoritinya bijak dan menepati syarat kemasukan terpaksa tarik diri disebabkan kekangan kewangan. Negara kita pun kekurangan tenaga pakar perubatan.

“Adakah sebab UNISHAMS di bawah kerajaan negeri Kedah, maka pelajar universiti ini diperlakukan sebegini? Kalau nak kata ada unsur politik, kami semua penyokong Kerajaan Madani,” ujarnya.

Sementara itu, bekas pensyarah universiti, Tajul Ariffin Abdullah memaklumkan, terdapat wakil ibu bapa lain yang cuba menghubungi beberapa pihak berkaitan termasuk Asyraf Wajdi.

Tambah bapa anak lima itu, Naib Canselor UNISHAMS, Profesor Dr Mohd Amy Azhar juga dilapor menghantar surat rasmi kepada Mara untuk memperhalusi perkara berkenaan.

“Kami kini berdepan tekanan yang cukup besar. Saya pun ramai lagi tanggungan yang masih bersekolah.

“Kasihan sangat melihat ibu bapa lain sampai sanggup gadaikan harta benda semata-mata nak anak teruskan belajar,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, bekas pekerja kilang, Adi Muzzamie Baharom, 49, mengakui gelisah dengan situasi yang berlaku memandangkan dirinya dibuang kerja sekitar enam bulan lalu.

Ujarnya lagi, dia masih dalam fasa mencari pekerjaan demi membiayai dua anaknya yang masih menuntut di UNISHAMS.

“Buat masa sekarang, memang saya usaha cari pekerjaan dalam masa sama buat kerja-kerja sambilan jual barang kereta. Tetapi, ia lah pendapatan tak menentu.

“Cukup-cukup untuk beri duit belanja RM100 seminggu sahaja, bab makan mereka balik ke rumah atau isteri bekalkan sebab jarak dari universiti ke rumah dekat sahaja.

“Untuk anak perempuan saya, PTPTN tanggung RM20,000 selebihnya RM5,000 saya keluar duit sendiri. Kalau anak lelaki, dia boleh kerja sambilan. Berhabis juga Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saya,” kata Adi Muzzamie.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!