Universiti Al-Azhar beri diskaun RM65,000 yuran pelajar Mara - Asyraf Wajdi

Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
A
A
A

SHAH ALAM – Universiti Al-Azhar bersetuju menurunkan yuran pengajian pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam bidang perubatan daripada RM150,000 kepada RM85,000 bagi tempoh lima tahun.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengurangan sebanyak RM65,000 itu diperoleh hasil pengesahan rasmi diterimanya selepas melalui proses rundingan bersama pengurusan universiti berkenaan kira-kira empat bulan lalu.

“Alhamdulillah, berita ini amat menggembirakan. Insya-ALLAH saya akan mengarahkan Mara segera menyiapkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibentangkan kepada Majlis Jemaah Menteri.

"Tujuannya adalah bagi membolehkan Mara menyambung semula penajaan kepada pelajar Melayu-Bumiputera dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Februari lalu media melaporkan, Mara masih menunggu keputusan rasmi terhadap permintaan diskaun yang dikemukakan kepada universiti yang berpangkalan di Mesir itu khusus kepada pelajar Melayu dan Bumiputera di bawah tajaannya bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menerusi perkongsian sama, Asyraf Wajdi turut memuat naik video kunjungannya bersama delegasi Mara ketika bertemu Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Abu Daud dan Naib Presiden, Dr Mahmoud Siddiq bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Kunjungan itu juga jelasnya, dilakukan dengan harapan pihak universiti mempertimbangkan penambahan kuota mahasiswa perubatan yang cemerlang di Malaysia dalam mengisi keperluan perubatan di negara ini.

Sementara itu menjelaskan inisiatif memulakan semula penghantaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang perubatan dan pergigian, beliau berkata ia boleh dilakukan jika yuran serta kos pembiayaan penghantaran pelajar ke universiti terbabit lebih murah berbanding kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta dalam negara.

"Lebih ramai pelajar boleh dibiayai untuk menjadi doktor dan doktor gigi kerana bidang-bidang ini di universiti berkenaan juga diiktiraf Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Artikel Berkaitan:

"Pelajar bukan sahaja akan menekuni pengajian dalam bidang berkaitan tetapi wajib mengambil subjek fiqah yang terkait perubatan.

"Pelajar dikehendaki menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran seiring dengan matlamat Mara sebagaimana saranan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid untuk melahirkan generasi ulul-albab," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!