Mara perjelas isu pelajar UniSHAMS tidak dapat tajaan

Zulfikri. Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung nasib 50 pelajar UniSHAMS yang menghadapi tekanan kewangan selepas permohonan mereka untuk mendapatkan tajaan Mara belum diluluskan.
Zulfikri. Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung nasib 50 pelajar UniSHAMS yang menghadapi tekanan kewangan selepas permohonan mereka untuk mendapatkan tajaan Mara belum diluluskan.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak menaja kira-kira 50 pelajar kohort ke-11 program perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) disebabkan kumpulan berkenaan telah menerima bantuan daripada agensi lain bagi pengajian sama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zulfikri Osman berkata, permohonan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) pada November 2024 menetapkan syarat jelas bahawa pelajar tidak boleh menerima bantuan daripada mana-mana agensi lain untuk pengajian sama.

"Syarat tersebut bukanlah syarat baharu, tetapi telah lama ditetapkan sejak puluhan tahun dahulu.

"Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu membeli rumah baharu, dia tidak boleh menerima pembiayaan daripada dua bank yang berbeza. Begitulah juga halnya dengan pembiayaan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas laporan media pada Selasa berhubung nasib 50 pelajar UniSHAMS yang menghadapi tekanan kewangan selepas permohonan mereka untuk mendapatkan tajaan Mara belum diluluskan seperti dijanjikan.

Zulfikri berkata, Mara mahu memberi keutamaan kepada pelajar bumiputera yang belum menerima sebarang bantuan pendidikan daripada mana-mana penaja.

"Mara sentiasa komited dalam menyediakan pinjaman bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti dan berdaya saing," ujarnya.

Sejak 1999, Mara telah menaja seramai 423 pelajar UniSHAMS termasuk 173 yang masih aktif dengan 144 daripadanya pelajar perubatan.

Sehingga 31 Mac 2025, seramai 4,510 pelajar bumiputera dalam bidang perubatan dalam negara telah mendapat tajaan Mara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!