Sidang DUN Kelantan kecoh, pembangkang dakwa diganggu

Mohd Shahbudin
Mohd Shahbudin
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kecoh seketika apabila Ketua Pembangkang, Mohd Syahbuddin Hashim bangkit membantah ‘gangguan’ daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan semasa beliau menyampaikan perbahasan titah diraja.

Ketegangan tercetus apabila Mohd Shahbudin yang juga ADUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) itu menyatakan hanya 46 daripada 101 isu rakyat sempat dibacakan.

Beliau beberapa kali dilihat cuba meneruskan perbahasan, namun dicelah ADUN kerajaan yang berbaur sinis mempertikaikan isi ucapannya.

“Kami bukan datang hendak cari salah sesiapa, kami cuma mahu tanya, ke mana arah tuju negeri ini? Tapi ini banyak sangat gangguan,” katanya persidangan yang berlangsung di Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Keadaan lebih bingit apabila ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud dari Pas menyebut BN kini menjadi alat kepada kepentingan parti lain.

Situasi itu menyebabkan suasana dewan menjadi tegang dan memaksa Speaker DUN, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi campur tangan untuk meredakan keadaan.

Mohd Shahbudin (tengah) bersama dua lagi ADUN pembangkang, Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN (kiri) dan Dr Hafidzah Mustakim dari Parti Amanah Negara.
Mohd Shahbudin (tengah) bersama dua lagi ADUN pembangkang, Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN (kiri) dan Dr Hafidzah Mustakim dari Parti Amanah Negara.

Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Shahbudin meluahkan rasa kesal kerana masa untuknya tidak mencukupi untuk membangkitkan isu rakyat secara menyeluruh.

“Surat rasmi kami hantar untuk mohon tambahan masa, tetapi hanya lima minit diberi, banyak perkara tidak sempat disentuh,” katanya.

Menurutnya, antara isu penting yang disuarakan termasuklah pelaburan negeri, masalah air bersih, pembangunan belia, wanita, orang kurang upaya manakala antara isu tidak sempat dikemukakan berkait dengan kebajikan masyarakat Orang Asli serta keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

“Saya perjuangkan hak rakyat Kelantan dan mahu bersama demi kepentingan mereka.

“Contohnya isu royalti, saya sendiri bersetuju dengan cadangan ADUN Pasir Tumboh, Datuk Abdul Rahman Yunus dari Pas yang mahu undang-undang berkaitan dikaji semula, itu baik untuk rakyat Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Wan Rohimi berkata, adalah lebih wajar jika pembangkang mengemukakan cadangan berbanding hanya mengemukakan senarai soalan panjang kepada kerajaan negeri.

“Perbahasan sepatutnya bersifat membina dan memberikan input yang boleh diteliti oleh pihak pentadbiran,” katanya.

Dalam sidang itu juga, Mohd Shahbudin turut menafikan dakwaan kononnya BN menjadi alat kepada parti tertentu dan menyifatkan tuduhan sedemikian tidak berasas.

“Kalau ada bukti, sila kemukakan. Jangan hanya pandai menuduh dalam dewan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!