Tujuh GLC Pahang catat untung, dua lagi rugi

KUANTAN – Tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang mencatatkan keuntungan manakala dua lagi mengalami kerugian berdasarkan prestasi kewangan beraudit bagi tahun 2023.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi GLC sentiasa dipantau Kerajaan Pahang bagi memastikan ia kekal menjadi penyumbang utama kepada hasil dan pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, setakat tahun berakhir 2024, terdapat sembilan syarikat induk atau perbadanan yang menerajui GLC Negeri Pahang dan terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.
“Tujuh GLC mencatatkan keuntungan adalah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang (YP), Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kumpulan Pahang Corporation (Pahang Corp), Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP).
“Dua GLC yang mengalami kerugian ialah Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) dan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas- Cheka) pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Wan Rosdy memberitahu, kerugian yang dicatatkan oleh Kumpulan ASPA berpunca daripada prestasi lemah anak syarikat utamanya, Mentiga Corporation Berhad, yang mencatat kerugian sebanyak RM13.6 juta.
Jelasnya, sementara itu, kerugian PPPB pula disebabkan oleh pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), sekali gus menjejaskan operasi dan jualan syarikat tersebut.
"Kita telah mengambil langkah penambahbaikan bagi membantu memulihkan syarikat yang mengalami kerugian termasuk penyediaan pelan pemulihan perniagaan untuk tempoh lima tahun bagi Mentiga Corporation Berhad.
“Bagi PPPB, rayuan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula Lesen AP sedang diteruskan, selain menimbang pelbagai pilihan lain untuk memastikan kelangsungan operasi syarikat,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Andansura Rabu (Pas- Beserah) berkaitan isu pembekuan lesen AP PPPB, Wan Rosdy berkata, satu pertemuan telah diadakan bersama Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan pihak Kerajaan Negeri dan pihak syarikat.
“Kita kemukakan penjelasan bahawa negeri-negeri lain juga mengeksport pasir, selain itu, kerja pendalaman sungai yang dilakukan untuk mengatasi banjir turut menghasilkan pasir berlebihan yang boleh dieksport.
“Kita ditanya atas alasan apa perlunya pasir di Pahang ini dieksport ke negara lain sedangkan tidak ada keperluan dan masih diperlukan dalam negara.
"Kita kemukakan jawapaan, negeri lain ada juga ada membekalkan pasir dan kita harus mendalami sungai di Pahang bagi mengatasi masalah banjir," katanya.
Wan Rosdy menambah, sekiranya rayuan untuk mendapatkan AP tidak berjaya, kerajaan Pahang akan mempertimbangkan alternatif lain.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

