'Jangan cabar ketegasan Kerajaan Pahang'- MB

Wan Rosdy. Foto Sinar Harian.
Wan Rosdy. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang memberi amaran keras supaya tidak mencabar ketegasan pentadbiran negeri dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah haram milik kerajaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencerobohan tanah haram bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya cabaran berterusan yang memberi kesan langsung terhadap sumber hasil negeri, kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial.

Jesteru, Kerajaan Pahang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencerobohan kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri.

"Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sama ada individu mahu pun kumpulan.

"Saya memberi amaran keras, jangan cabar ketegasan kerajaan negeri. Kerajaan negeri bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat operasi pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pengulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pada Khamis.

Wan Rosdy memberitahu, tindakan tegas juga diambil termasuk menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 bagi memastikan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan dan terancang.

Kata beliau, sejak penubuhan unit tersebut, sebanyak 23 operasi pemusnahan telah dijalankan melibatkan kawasan seluas 3,366 ekar atau 1,362 hektar.

“Lima lagi operasi tambahan telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menambah bermula tahun 2023, pendekatan lebih tegas dilaksanakan apabila mendakwa penceroboh ke muka pengadilan dan tidak lagi hanya mengenakan kompaun seperti sebelumnya.

Ujarnya, sebagaimana disebut oleh ADUN Lantikan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada hari Selasa, terdapat beberapa kes pencerobohan yang telah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda melebihi RM100,000.

"Tindakan ini bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa, tetapi sebagai peringatan dan pengajaran bahawa Kerajaan Negeri amat serius dalam menangani isu ini secara menyeluruh," katanya.

Dalam menangani isu pencerobohan secara holistik, Wan Rosdy berkata, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah ditubuhkan khusus bagi pengurusan dan pemantauan tanah seperti Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Pahang Corporation, Pahang Mining Corporation, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) serta Pahang Gold.

Selain itu, katanya, penubuhan Akademi Mineral Pahang dan Skim Pelombong Kecil adalah untuk membantu pemilik tanah mendapatkan lesen melombong secara sah.

"Inilah antara usaha berterusan dan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan pemuliharaan tanah, pemerkasaan undang-undang dan kelestarian negeri sentiasa terpelihara.

“Kita akan pastikan bahawa tanah kerajaan dimanfaatkan untuk pembangunan negeri, demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan segelintir yang tamak dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!