X

Kindly register in order to view this article
!

'Lebih baik kekalkan jawatan MB Kedah kepada Bersatu'

Md Shukri
A
A

ALOR SETAR - Kemelut politik Kedah dianggap masih belum selesai selagi perubahan tampuk kepimpinan negeri itu tidak berlaku susulan perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan diterajui kerajaan Perikatan Nasional.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, walaupun Pas mendominasi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada keseluruhan 36 kerusi, ia tidak boleh diterjemahkan sebagai petanda awal Pas bakal menduduki kerusi Menteri Besar walaupun memperoleh dua sokongan daripada ADUN UMNO.

Menurutnya, adalah lebih baik untuk Pas memberi ruang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengekalkan kerusi Menteri Besar kepada mana-mana wakil rakyat Bersatu, sebagai lambang kompromi bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

“Situasi Bersatu di Pusat dan Kedah kelihatan berbeza kerana wakil rakyat di Kedah mengambil sikap tunggu dan lihat selain sentimen untuk menjaga kepentingan Bersatu dan Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih menebal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat pemimpin Pas disebut-sebut calon MB Kedah

Beri saya ruang, kata Mukhriz

Mukhriz yakin kekal Menteri Besar Kedah

Md Shukri berkata, apatah lagi sentimen yang melihat beberapa negeri yang sebelum ini menduduki kerusi Menteri Besar oleh parti itu mula tergugat satu persatu.

“Jika Pas dan UMNO mahu kedudukan kerajaan negeri berubah kepada gabungan baharu dengan mengekalkan wakil rakyat Bersatu di kerusi Menteri Besar, mungkin pilihan terbaik adalah kalangan ahli politik profesional dalam parti itu yang boleh diketengahkan iaitu ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail,” katanya.

Menurutnya, cadangan nama itu boleh dikemukakan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yaasin sebagai calon Menteri Besar Kedah untuk melihat sokongan kesemua 36 ADUN.

“Langkah ini perlu dilakukan bagi memastikan Kedah sealiran dengan kerajaan Pusat dan tidak ketinggalan. Dibimbangi wujud persepsi Bersatu bawah kepimpinan Muhyiddin gagal menangani pola krisis Kedah jika jawatan itu diserahkan kepada parti lain,” katanya.

Md Shukri berkata, sewajarnya hak mencalonkan atau menggantikan Menteri Besar Kedah diputuskan segera di peringkat tertinggi parti.

“Usah biarkan imej parti terjejas seolah mengabaikan Kedah dengan menyerahkan kepada Pas kerana memiliki kerusi paling banyak, ini tidak positif natijahnya. Penilaian hendaklah menyeluruh termasuk latar belakang pendidikan dan pengalaman untuk mentadbir negeri,” katanya.

Menurutnya, Bersatu kini dilihat lebih menumpukan perhatian kepada Pusat sehingga politik di Kedah dibiarkan berlarutan tanpa satu penyelesaian terbaik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!