Beri saya ruang, kata Mukhriz

Mukhriz tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim malam ini.
Mukhriz tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim malam ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta ruang untuk berjumpa barisan Exco Kedah terlebih dahulu sebelum mengumumkan sebarang perubahan pentadbiran negeri.

Mukhriz berkata, masih banyak perkara perlu dipertimbangkan buat masa ini untuk menjamin masa depan Kedah.

"Bagi saya peluang dulu jumpa rakan-rakan sebelum buat kenyataan. Banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan untuk jamin masa depan Kedah," katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim malam ini.

Turut kelihatan menyambut ketibaan Mukhriz ialah dua Exco dari Bersatu, iaitu Halimathon Saadiah Saad dan Mohd Firdaus Ahmad.

Sejak negara berdepan kemelut politik sehingga menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan (PH), ini kali pertama Mukhriz kembali ke Kedah dan mengadakan perjumpaan tertutup bersama barisan Exco Kedah di kediaman rasmi Seri Mentaloon malam ini.

Barisan Exco Kedah dianggotai dua Exco Bersatu, empat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga Exco dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP (1).

Pengunduran Bersatu daripada PH menyebabkan kerajaan Kedah turut terjejas. PH Kedah yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP memiliki sebanyak 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu PKR (7), Amanah (4), DAP (2) berbanding Pas (15) dan Barisan Nasional (2).

Bersatu hanya memiliki sebanyak enam kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi. Kedudukan itu menyebabkan Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan negeri sendiri dan sekiranya Mukhriz mahu kekal sebagai Menteri Besar Kedah, Bersatu perlu mendapatkan sokongan PH dengan beroleh majoriti dua kerusi atau memilih bekerjasama dengan Pas dan BN untuk membentuk kuasa di DUN (23-13).

Artikel Berkaitan: