Mukhriz yakin kekal Menteri Besar Kedah

Mukhriz disambut beberapa penyokong dan barisan Exco serta ADUN Kedah sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada jam 7.50 malam tadi.
Mukhriz disambut beberapa penyokong dan barisan Exco serta ADUN Kedah sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada jam 7.50 malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin dapat mengekalkan jawatannya berikutan menerima sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mencukupi untuk menerajui kerajaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, Kedah bersedia menjadi negeri pembangkang dan berupaya mengekalkan kedudukan itu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selagi tiada ADUN Bersatu atau PH keluar parti menyertai parti lawan.

Menurutnya, mesyuarat Exco juga akan diadakan seperti biasa esok untuk meneruskan agenda membangunkan rakyat dan negeri.

"Saya juga telah berbincang dengan rakan-rakan Exco dan kita yakin bahawa perancangan untuk negeri Kedah dapat diteruskan walaupun terpaksa menghadapi sedikit kekangan kewangan.

"Kita mungkin perlu buat perancangan dan berjimat kalau boleh bertahan selama tiga tahun, insya-ALLAH kita boleh hadapi PRU15 nanti dengan janji-janji rakyat yang telah ditunaikan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini malam ini.

Mengulas lanjut mengenai spekulasi jawatan menteri besar yang tular di media sosial, Mukhriz yang juga ADUN Jitra berkata, situasi itu adalah perkara biasa dalam situasi kemelut politik kini.

"Memang banyak spekulasi, ada juga pihak tertentu yang berminat untuk mengambil alih kerajaan dengan cara bukan melalui pilihan raya," katanya.

Terdahulu, Mukhriz disambut beberapa barisan Exco dan ADUN Kedah yang hadir di balai ketibaan sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan beliau.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, pentadbiran kerajaan negeri Kedah kekal dipimpinnya selepas 19 ADUN PH Kedah bersetuju untuk menyokong kepimpinan beliau meskipun sebarang kata sepakat di peringkat Pusat masih belum dapat dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kedah kekal ditadbir Mukhriz

18 ADUN PH, Bersatu sokong Mukhriz demi rakyat

Menurut Mukhriz, tindakan mewujudkan kepimpinan kerajaan negeri yang berstatus PH dan Bersatu itu adalah bagi menjamin kesepakatan serta proses perjalanan kerajaan negeri Kedah berjalan seperti biasa.

PH Kedah dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memiliki tujuh kerusi, Parti Amanah Negara (empat) dan DAP (dua).

Sementara Pas Kedah memiliki 15 kerusi, Barisan Nasional (dua) manakala Bersatu (enam) daripada keseluruhan 36 kerusi.