Subsidi RON95: Khalid Samad dakwa guna MyKad tak efisien, mudah dimanipulasi

Khalid Samad
Khalid Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penggunaan MyKad sebagai kaedah menyalurkan subsidi bersasar RON95 kepada rakyat yang layak dilihat sebagai langkah tidak praktikal dan mudah dimanipulasi, dakwa Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.

Menurut beliau, pendekatan itu membuka ruang kepada salah guna identiti dan tidak menjamin ketepatan sasaran subsidi, sekali gus boleh menggagalkan hasrat kerajaan untuk memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang sepatutnya.

“Penggunaan MyKad menjurus kepada isu salah guna dan manipulasi. Contohnya, pemandu kereta mewah mungkin menggunakan MyKad sendiri untuk mengisi minyak dan akan menerima subsidi walaupun dia bukan pemilik sebenar kenderaan tersebut.

“Ini menjadikan pendekatan berasaskan MyKad sebagai tidak munasabah dan tidak menepati sasaran sebenar,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan bahawa terdapat mekanisme alternatif yang lebih efisien yang telah dibentangkan oleh sebuah syarikat perunding kepada Kementerian Kewangan (MoF) awal tahun lalu.

Menurutnya, sistem itu menggunakan data jenis kenderaan sebagai asas penentuan subsidi dan berupaya mengenal pasti kereta mewah seperti Bentley dan Mercedes-Benz yang secara automatik akan dikenakan harga tanpa subsidi.

“Saya difahamkan sistem itu ditawarkan secara percuma untuk tempoh percubaan dan hanya akan dikenakan bayaran berdasarkan peratusan penjimatan subsidi selepas pelaksanaan.

"Malangnya, MoF tidak memberikan sebarang maklum balas kepada cadangan tersebut,” katanya.

Khalid turut menjelaskan bahawa data kenderaan dalam kategori T15 yang merangkumi kenderaan mewah sudah lengkap dan boleh dimanfaatkan secara langsung untuk sistem subsidi bersasar ini tanpa perlu mengakses data peribadi pengguna.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan subsidi berasaskan MyKad boleh mendorong kepada situasi penyewaan atau pinjaman kad pengenalan di stesen minyak semata-mata untuk mendapatkan harga subsidi.

“Boleh jadi nanti geng B40 tunggu di stesen minyak, ada pula yang sewakan MyKad mereka. Ini satu perkara yang sangat mudah disalah guna dan seharusnya diteliti semula oleh kerajaan,” katanya lagi.

Bulan lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kerajaan akan menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat melalui pengesahan MyKad, seiring kejayaan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini.

Namun, Khalid menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan tersebut demi memastikan subsidi yang diberikan benar-benar bersasar dan tidak disalahgunakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!