PDAM mahu dilibatkan dalam rundingan pelaksanaan subsidi bersasar RON95

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya berunding dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi menyelesaikan kebimbangan tentang ketidakpastian mengenai mekanisme subsidi bersasar RON95 serta merangka pelan yang lebih praktikal dan mampan.
PDAM dalam satu kenyataan berkata, rundingan itu penting bagi membolehkan pihaknya memahami dengan lebih jelas mengenai pelaksanaan yang bakal dibuat itu nanti.
Ini kerana katanya, persatuan itu masih belum mendapat maklumat terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan tersebut dan meminta garis panduan yang jelas dan tepat bagi memastikan kelancaran inisiatif berkenaan.
“Sehingga kini, PDAM juga masih belum dilibatkan dalam sesi libat urus yang berkaitan dengan pelaksanaan subsidi ini. Pengusaha stesen minyak antara pemegang taruh utama dalam rantaian bekalan bahan api dan tanpa penglibatan kami terdapat risiko gangguan operasi yang boleh menjejaskan keseluruhan sistem.
“Selain itu, kejayaan pelaksanaan subsidi ini turut bergantung kepada pengusaha stesen minyak untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
“Jika pengusaha tidak dapat menampung cabaran yang timbul, sistem keseluruhan boleh terjejas dan akhirnya memberi kesan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Khamis lalu, kerajaan dilapor akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya perlu dimaklumkan secara terperinci mengenai sebarang implikasi kewangan yang mungkin timbul bagi memastikan tiada kos tambahan dikenakan kepada pengusaha.
“Jika pelaksanaan ini memerlukan modal kerja tambahan, perancangan awal perlu dibuat bagi mengelakkan gangguan operasi harian.
“Sekiranya terdapat kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pengusaha akibat pelaksanaan subsidi bersasar ini, PDAM menegaskan bahawa pampasan sewajarnya harus diberikan sejak hari pertama pelaksanaan.
“Ini penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan ahli kami dan kejayaan keseluruhan program subsidi bersasar ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

