Penyelarasan subsidi RON95 guna sistem dua kadar harga, MyKad - Amir Hamzah

Amir Hamzah bercakap pada Sidang Media Tinjauan Operasi Perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Depoh Rapid Bus Maluri hari ini. Foto Bernama
Amir Hamzah bercakap pada Sidang Media Tinjauan Operasi Perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Depoh Rapid Bus Maluri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

"Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu perkara sementara kami masih menjalankan kerja, kerana perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh.

"RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi. Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad," katanya selepas melakukan tinjauan operasi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai kewajaran menggunakan MyKad dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu, Amir Hamzah menjelaskan sistem berkenaan sudah digunakan dalam Sumbangan Asas Rahamh (Sara).

Katanya, ketika ini sumbangan Sara kepada 700,000 penerima yang akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April ini menggunakan MyKad sebagai medium penyaluran bantuan tunai setiap bulan.

Malah katanya, bantuan yang diterima di dalam MyKad itu boleh digunakan bagi transaksi di 3,500 kedai.

"Jika kita boleh menggunakan MyKad kepada 5.4 juta penerima dengan 3,500 kedai, ia menunjukkan sistem itu kukuh.

"Justeru, tidak ada beza jika MyKad diguna pakai untuk rasionalisasi subsidi RON95," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan 85 peratus rakyat negara ini tidak akan terkesan susulan penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan kelak.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan sebelum ini menyaksikan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 yang bernilai RM8 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!