Penahanan editor Sin Chew ikut undang-undang - Fahmi

Fahmi (kanan) mengadakan lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Sri Skudai pada Isnin.
Fahmi (kanan) mengadakan lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Sri Skudai pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Tindakan polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu, dibuat berlandaskan undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, polis mempunyai kuasa mengikut undang-undang dan seterusnya menjalankan siasatan berhubung isu yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Jelas beliau, siasatan terhadap isu ini dijalankan dari tiga sudut berbeza yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Kesalahan pertama dikesan melalui edisi cetakan Sin Chew, maka siasatan awal dilakukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang dikuatkuasakan oleh KDN.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta beberapa akta lain yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM.

"Justeru, sebarang penahanan bagi membantu siasatan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy yang kesal dengan tindakan pihak polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Memetik laporan sebuah portal Ramasamy menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan memalukan.

Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Sri Skudai pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, menambah penglibatan MCMC dalam siasatan juga dianggap relevan memandangkan Sin Chew turut menerbitkan kandungan melalui platform digital seperti e-paper.

"Dalam isu ini, dua kementerian dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan.

"Keputusan akhir akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut sama ada pendakwaan di mahkamah atau langkah lain," jelasnya.

Pada 17 April lalu, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera terbabit tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

-endn

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!