Tambah baik proses semakan editorial

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Radzi Razak
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Radzi Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Proses tindakan dalaman lebih telus dan bertanggungjawab perlu dilaksanakan segera termasuk inisiatif memperketatkan proses semakan semula prosedur editorial, audit kandungan serta penambahbaikan sistem semakan sebelum sesuatu bahan diterbitkan.

Ahli Jawatankuasa Pro-Tem Majlis Media Malaysia (MMC), Radzi Razak berkata, langkah tersebut penting susulan kontroversi kesilapan penerbitan imej Jalur Gemilang oleh akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini yang disifatkan sebagai satu isu serius melibatkan simbol penting negara.

“Kami mengambil maklum bahawa pihak akhbar berkenaan telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan tindakan itu merupakan langkah awal yang wajar.

“Namun, ia tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian penuh. Perlu ada penilaian dalaman menyeluruh bagi memastikan kesilapan seperti ini tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Radzi menyarankan agar semua organisasi media memperkemas proses semakan editorial khususnya melibatkan imej dan simbol kebangsaan.

“Selain itu, organisasi media juga perlu menyediakan latihan berkala kepada petugas editorial dan grafik melibatkan sensitiviti kandungan dan standard etika.

“Prosedur pembetulan yang telus dan cepat juga perlu diwujudkan sekiranya berlaku kesilapan dalam penerbitan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, insiden itu turut menunjukkan kepentingan penubuhan Majlis Media Malaysia yang bebas dan diterajui oleh industri media itu sendiri bagi membolehkan siasatan dibuat secara adil dan profesional tanpa tekanan luar.

“Kami berharap agar pihak berkuasa menjalankan sebarang siasatan secara tertib, aman dan terbuka dengan menghormati proses profesional dalam bidang kewartawanan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!