Malaysia laksana transformasi berani sektor pendidikan - Fadhlina

Fadhlina (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada peserta Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025.
Fadhlina (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada peserta Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025.
A
A
A

GEORGE TOWN - Malaysia akan melaksanakan transformasi berani dalam sektor pendidikan demi mempersiapkan generasi muda menghadapi masa depan yang semakin mencabar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan di ASEAN kini berada di persimpangan penting dan keputusan yang dibuat akan menentukan sama ada rantau ini mampu memanfaatkan kelebihan demografi atau berdepan risiko keterbelakangan.

“Pilihan kita hari ini adalah antara penyesuaian minimum atau transformasi berani. Malaysia memilih transformasi," katanya dengan merujuk kepada perubahan dalam kurikulum, latihan guru dan kerjasama strategik bersama industri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini pada Isnin.

Sidang kemuncak anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik itu turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Presiden KSI, Tan Sri Michael Yeoh, Timbalan Pengerusi KSI, Datuk Seri Mohd Iqbal Rawther, Presiden Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Malaysia (MAPCU), Datuk Parmjit Singh serta pendidik dan penggubal dasar dari seluruh rantau.

Tambah Fadhlina, Malaysia sedang giat melaksanakan Pelan Tindakan Pendidikan Digital 2021–2025 dan telah melatih lebih 100,000 guru dalam pedagogi digital hasil kerjasama dengan Google for Education, UNESCO serta universiti tempatan.

"Dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sektor-sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) di Johor dan Pulau Pinang telah memulakan kerjasama dengan politeknik serta kolej vokasional untuk melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri termasuk dalam bidang semikonduktor.

"Sementara cabaran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Pelan Tindakan AI Negara telah diperkenalkan bagi mengintegrasikan AI dalam pendidikan bukan sahaja sebagai kandungan malah sebagai alat pengajaran dan pembelajaran.

“Sekolah rintis kini menggunakan platform berkuasa AI untuk memperibadikan pengalaman pembelajaran, mengenal pasti risiko keciciran dan menawarkan intervensi khusus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina menambah, seramai 200,000 pelajar telah menyertai program STEM, termasuk kem dan pertandingan robotik melalui inisiatif seperti #MySTEMAmbassadors dan STEM4ALL.

"Kerajaan juga memperkenalkan kelas hibrid berkuasa solar dengan sambungan internet satelit di 180 sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan jurang digital tidak memburukkan ketidaksamarataan pendidikan.

"Malaysia turut memberi perhatian kepada pembinaan generasi muda yang bersedia menghadapi dunia rentas budaya dan bahasa. Bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer dan Vietnam kini diperkenalkan sebagai mata pelajaran elektif di sekolah, selaras dengan matlamat memperkukuh hubungan intra-ASEAN," katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata, Malaysia sedang memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) antaranya melalui penubuhan Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Kebangsaan di Putrajaya yang dijadikan model serantau.

"Dalam bidang pengajian tinggi, sokongan terhadap pelaksanaan Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA) ASEAN yang akan membolehkan mobiliti pelajar dan pengiktirafan kelayakan akademik merentas sempadan.

"Ada beberapa contoh kerjasama antara universiti negara dengan institusi luar negara, termasuk UKM bersama Universiti Filipina dalam pengurusan bencana dan perubahan iklim.

"Selain itu, Universiti Taylor’s dengan rakan-rakan di Thailand dan Indonesia dalam bidang hospitaliti dan seni kreatif," katanya.

Menurutnya, pendidikan harus membentuk insan yang berempati dan bertanggungjawab yang mana, kurikulum kini turut mengandungi modul berkaitan perubahan iklim, biodiversiti, penyertaan sivik dan teknologi beretika sejak Tahun 4.

"Inisiatif Sekolah Perpaduan dan Program Perkongsian Sekolah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga diperkenalkan bagi memperkukuh kefahaman dan integrasi antara pelajar dari pelbagai latar belakang.

"Sehubungan itu, kementerian mencadangkan lima inisiatif serantau untuk dilaksanakan bersama negara-negara ASEAN iaitu pasukan tugas masa depan pendidikan ASEAN, pasport kemahiran digital ASEAN, koridor mobiliti kemahiran ASEAN, kerangka Awal kanak-kanak ASEAN bersama dan makmal inovasi ASEAN di sekolah," katanya.

Beliau menambah, pendidikan adalah strategi terbaik ASEAN untuk daya tahan, kemakmuran dan perpaduan.

"Ia merupakan tanggungjawab terbesar kita bersama. Inovasi tanpa keadilan boleh membawa kepada peminggiran, manakala kemahiran tanpa nilai boleh membawa kepada keterasingan.

“Kita bukan sahaja harus membina tenaga kerja, malah generasi warga ASEAN yang berkemahiran, berbelas ihsan dan komited membina masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!