Kebun durian haram: 28 laporan polis diterima setakat Jumaat

RAUB - Sebanyak 28 laporan polis telah diterima setakat Jumaat membabitkan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian musang king di atas tanah kerajaan di Sungai Ruan di sini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, laporan yang diterima melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu yang menzahirkan sokongan terhadap tindakan penguatkuasaan terhadap kebun durian haram.
Menurutnya, laporan itu bukan sahaja dibuat di daerah tersebut malah dari daerah lain antaranya di Kuantan.
"Semua laporan ini sebagai sokongan kepada tindakan penguat kuasa menjalankan tugas dalam operasi terhadap kebun durian haram musang king di atas tanah kerajaan di Sungai Ruan.
"Setakat ini, keadaan tenang dan terkawal hasil kawalan di kawasan penguatkuasaan yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, semua pihak juga diminta terus menghormati undang-undang dan tidak mengambil tindakan sendirian serta menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak menjadikan ia sebagai isu perkauman.
Sebelum ini Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan polis pada Isnin kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas semasa 'Op Sekat' minggu lalu.
Kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!