Kes kebun durian: Tindakan bawa ke mahkamah bukan untuk aibkan sesiapa - Wan Rosdy

KUANTAN - Tindakan kerajaan Pahang membawa kes pencerobohan tanah dan perlombongan haram ke mahkamah tanpa kompromi bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya ia sebagai langkah tegas mendidik masyarakat.
"Baru-baru ini, dua individu di Lipis, masing-masing dikenakan denda yang tinggi iaitu RM100,000 seorang berbanding sebelum ini kompaun RM20,000 dan RM30,000.
"Cara (tindakan) membawa kes ke mahkamah bukan untuk mengaibkan sesiapa, tapi untuk mendidik masyarakat supaya dapat melihat bahawa kerajaan negeri sangat serius dalam isu penerokaan dan pencerobohan tanah haram atau aktiviti haram lain seperti melombong dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Istiadat tersebut disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang turut diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan atas titah baginda yang menzahirkan rasa bangga terhadap tindakan proaktif kerajaan Pahang bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam membanteras pencerobohan.
Jelasnya, UPNP juga telah mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok yang ditanam secara haram dan menutup lombong haram tanpa rasa takut.
“Titah baginda bahawa penjawat awam tidak boleh dihalang daripada menjalankan tugas adalah sangat tepat dan wajar diberi perhatian,” katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

