Lima laporan polis berhubung paparan Jalur Gemilang tidak lengkap - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya lima laporan polis telah dibuat berhubung paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap melibatkan pempamer dalam sebuah pameran dagangan produk bayi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan itu dibuat rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan termasuklah setiausaha politiknya dan UMNO Bahagian Lembah Pantai bagi menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mempamerkan Jalur Gemilang tanpa mengikut spesifikasi yang betul.

Beliau berkata, tindakan terbabit adalah sebahagian usaha mereka untuk menegaskan bahawa lambang negara tidak boleh dipermainkan.

Fahmi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur di Bukit Kerinchi pada Ahad. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fahmi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur di Bukit Kerinchi pada Ahad. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Sekiranya, pihak polis mendapati ada apa-apa perkara yang telah melanggar undang-undang, maka kita pohon agar tindakan tegas diambil terhadap pihak berkenaan.

"Saya juga berharap semua pihak tidak kira media ataupun penganjur bagi acara berskala besar seperti ini wajib faham dan tahu mengenai protokol serta tatacara penggunaan Jalur Gemilang," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinci Kuala Lumpur pada Ahad.

Pada Ahad, satu lagi insiden melibatkan paparan video Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dikesan berlaku dalam pameran di pusat membeli belah di ibu kota.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menegaskan pemakaian Jalur Gemilang ada ketertiban dan tatacaranya, sekali gus kegagalan mematuhi adalah satu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Fahmi mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak yang mengambil mudah dan memandang ringan hal tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dalam isu tersebut.

"Kita kena tegas kerana Jalur Gemilang adalah kebanggaan kita semua dan simbol kedaulatan negara," ujarnya lagi.

Fahmi beramah mesra dengan ahli Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur.
Fahmi beramah mesra dengan ahli Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur.

Ketika diminta mengulas tentang laporan polis dibuat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd berhubung dakwaan insiden kerosakan serta kemusnahan terhadap harta milik syarikat itu, pada Jumaat, Fahmi sekali lagi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan.

Beliau menyatakan, pengurusan lama menara telekomunikasi terbabit perlu memahami kedudukan sebenar perkara ini.

Terdahulu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Waris Kerinci Kuala Lumpur bagi menyokong aktiviti yang dirancang bersama komuniti setempat.

Tambah beliau, peletakan batu tanda Kampung Kerinci akan dilaksanakan sebagai usaha mengekalkan warisan dan sejarah kampung itu agar generasi akan datang tahu tentang sumbangan komuniti Kerinci dalam membuka kawasan tersebut satu ketika dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!