X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Hospital Pantai selamat dikunjungi

Hospital Pantai Kuala Lumpur
A
A

KUALA LUMPUR - Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) selamat dikunjungi dan orang awam tidak perlu risau mengenai jangkitan koronavirus (Covid-19) berikutan mesej tular mengatakan hospital itu patut dihindari bagi tempoh masa tertentu.

Ketua Pegawai Perubatan Unit Kecemasan PHKL, Dr Mohd Ridzuan Abdul Razak berkata, hospital itu telah mengambil langkah sewajarnya mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan Covid-19 dalam negara.

"Kita menerima anggaran 2,000 pelawat dalam sehari. Setiap mereka akan disaring di dua pintu masuk hospital termasuk di jabatan kecemasan.

"Antara langkah yang diambil ialah soal selidik sejarah perjalanan ke negara terbabit, pengesanan suhu badan dan juga pengesanan simptom pada pelawat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, PHKL telah bersiap siaga menghadapi penularan jangkitan Covid-19 sejak Januari lepas dan hospital itu turut mempunyai Jawatankuasa Kawalan Jangkitan yang bermesyuarat hampir setiap hari bagi membincangkan perkembangan terkini isu Covid-19 itu.

“PHKL juga sentiasa merujuk portal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meneliti perkembangan Covid-19 di seluruh dunia dan merujuk sebarang langkah yang boleh diikuti,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di kawasan luar dan dalam hospital tersebut juga mendapati kemudahan pembasmi kuman tangan diletakkan di pintu masuk hospital dan di hadapan lif dan terdapat gegantung yang memaparkan info berkenaan Covid-19.

Para petugas kesihatan juga ditempatkan di pintu masuk hospital bagi saringan awal kesihatan dan bahagian dalam lif turut disanitasi setiap dua jam sehari.

Semalam, PHKL dalam satu kenyataan menyatakan tiga kes positif Covid-19 dilaporkan iaitu kes ke-24, ke-27 dan yang ke-29 dalam negara termasuk satu kes melibatkan jururawat pelatih wanita (kes ke-27).

Justeru, PHKL dengan kadar segera telah mengambil langkah pencegahan dengan menghantar ketiga-tiga pesakit itu ke Hospital Kuala Lumpur (kes ke-24 dan 27) dan Hospital Sungai Buloh (kes ke-29) bagi tujuan rawatan dan isolasi.

Berhubung kes ke-27, Dr Mohd Ridzuan menjelaskan jururawat pelatih wanita itu merupakan kontak kes-24 (wanita Jepun) yang pada awalnya tidak menunjukkan kriteria penuh jangkitan Covid-19.

“Jadi, jururawat pelatih itu tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) kerana tidak diperlukan pada ketika itu,” jelasnya.

Bagi mengekang penyebaran maklumat palsu, katanya PHKL juga aktif menyampaikan dan berkongsi maklumat sahih menerusi laman Facebooknya dan memberi penjelasan telus kepada pelanggan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, KKM mengesahkan tujuh lagi kes positif Covid-19 membabitkan warga tempatan menjadikan jumlah keseluruhan 36 kes setakat ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus