Angkat cerita sebalik produk pelancongan - Sanusi

KUALA LUMPUR - Kisah di sebalik tapak pelancongan sedia ada perlu diperkasa untuk menarik minat pelancong, seterusnya menyuburkan sektor pelancongan agar terus menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha tersebut seiring langkah kerajaan negeri dalam menonjolkan produk pelancongan Kedah sebagai inisiatif memastikan negeri itu menjadi tumpuan pelancong dan bukan sekadar laluan ke negara jiran, Thailand.
Menurutnya, Geopark Jerai antara contoh pembangunan produk pelancongan yang mempunyai kisah tersendiri, berpotensi diangkat sebagai tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa.
"Dengan kehebatan tapak-tapak yang perlu dilawati, yang kita perlukan adalah cerita. Apa yang tak sampai kepada orang ramai adalah cerita. Apakah cerita yang ada di sebalik Geopark Jerai?
"Menurut pakar-pakar pengkaji Sungai Batu yang menjadi panel kepada tapak-tapak UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) geopark seluruh dunia, kalau diambil satu garisan lurus dari Sungai Batu mendaki Puncak Gunung Jerai, akan ditemui lebih banyak lagi tapak tamadun awal manusia.
"Kalau seekor kucing dilepaskan pada zaman itu dan berjalan turun ke Sungai Batu, kucing itu tidak akan memijak tanah kerana sepanjang laluan tersebut dipenuhi bangunan yang didirikan sebagai penempatan dan pusat pentadbiran tamadun awal Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Fair 2025, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Sabtu.
Sebelum ini, Kedah diumumkan sebagai ‘Pilihan Malaysia’ bagi Pameran MATTA Fair 2025 yang berlangsung sehingga Ahad.
Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi berkata, penganjuran MATTA Fair sangat penting dan berkesan untuk mempromosikan pelancongan tempatan.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri komited untuk memperluaskan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan bagi meningkatkan penawaran pelancongan serta memberi impak ekonomi yang positif.
"Kedah kini menerima semakin banyak perhatian sebagai destinasi pelancongan, dengan tarikan unik seperti Langkawi, Ulu Muda dan Lembah Bujang yang bersejarah, menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
"Dengan mempromosikan agropelancongan serta pengalaman berasaskan warisan, Kedah berhasrat untuk mengukuhkan identitinya sebagai destinasi pelancongan yang pelbagai," ujar beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, sebagai rakan strategik kepada Visit Malaysia 2026 (VM2026), MATTA komited dalam mempromosikan pelancongan domestik dan kemasukan pelancongan ke Malaysia.
"Kami ingin membawa keunikan pelbagai tarikan di Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"MATTA percaya bahawa pelancongan merupakan tiang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan juga pemerkasaan komuniti tempatan," katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah ke arah kelestarian, MATTA turut melancarkan Inisiatif Pelancongan Eko-Lestari MATTA (MESTI) sebagai platform ke arah cara penerokaan Malaysia yang lebih bersih, mesra alam dan beretika.
Ia berteraskan tiga teras utama iaitu pemuliharaan hidupan liar, pemuliharaan marin dan pemeliharaan budaya serta sejarah.
"MESTI adalah simbol tanggungjawab bersama kita untuk melindungi khazanah semula jadi dan budaya Malaysia bukan sekadar untuk pelancongan, tetapi juga demi generasi masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada misi MATTA untuk memajukan pelancongan sukan, MATTA Fair 2025 turut menampilkan dua gelanggang khas sukan pickleball di Aras 1, Dewan 4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
