Zakat MAINPP komited perkasakan TVET

Dr Mohamad (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoA antara Zakat MAINPP dengan rakan sinergi.
Dr Mohamad (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoA antara Zakat MAINPP dengan rakan sinergi.
A
A
A

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terus komited memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan keluarga asnaf sebagai usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memacu pembangunan industri serta ekonomi negara.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pelaksanaan program tajaan TVET di bawah Skim Agihan Zakat bukan sahaja membuka peluang pendidikan dan latihan kepada anak-anak asnaf, malah menjadi inisiatif menangani kos sara hidup melalui penekanan terhadap kemahiran tinggi, keusahawanan dan penciptaan peluang pekerjaan.

Menurutnya, sejak tahun 2016, Zakat MAINPP telah bekerjasama dengan pelbagai institusi kemahiran bagi melatih lebih 700 pelajar asnaf dalam bidang TVET.

Dr Mohamad ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima sijil TVET.
Dr Mohamad ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima sijil TVET.

“Ramai daripada mereka kini telah berjaya menempatkan diri dalam pelbagai sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Dalam tempoh kurang 10 tahun, program ini telah menunjukkan hasil yang membanggakan. Ia membuktikan bahawa dengan agihan zakat yang berstrategi, MAINPP mampu memperkasakan komuniti asnaf melalui pendidikan dan latihan yang membuka laluan ke pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen TVET Zakat MAINPP Kali Pertama 2025 di sini, pada Sabtu.

Dalam majlis itu, Dr Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Zakat MAINPP, High Skills Technology Sdn Bhd dan Penang Skills Development Centre (PSDC).

MoA tersebut bertujuan memperkukuh latihan dan kemahiran belia Muslim dalam bidang teknologi tinggi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama berkenaan turut disokong menerusi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan bersepadu dan modal insan progresif.

Dr Mohamad (tengah) bergambar dengan sebahagian alumni TVET Zakat MAINPP.
Dr Mohamad (tengah) bergambar dengan sebahagian alumni TVET Zakat MAINPP.

“TVET harus dijadikan pilihan utama pendidikan pelajar Muslim dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi semasa.

“Alumni yang diraikan hari ini juga diseru agar kembali menyumbang kepada MAINPP, termasuk melalui penunaian zakat pendapatan, supaya program zakat produktif ini dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!