Penjawat awam berdepan tindakan tatatertib sentuh isu 3R - JPA

BACHOK – Penjawat awam di negara ini akan berdepan tindakan sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R, iaitu agama, kaum dan institusi raja.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, perkara itu akan dirujuk dalam Mesyuarat Lembaga Tatatertib kerana terdapat peraturan tertentu yang melibatkan penjawat awam.
“Kesemua penjawat awam sentiasa diingatkan supaya tidak menyentuh perkara berkaitan 3R bagi mengelakkan dikenakan tindakan sebagaimana termaktub dalam pekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, Gunong, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Wan Ahmad memaklumkan bahawa kira-kira 1,000 penjawat awam yang bertugas di pelbagai kaunter perkhidmatan kerajaan telah selesai menjalani proses pusingan kerja bagi fasa pertama.
Jelas beliau, pelaksanaan berkenaan merupakan antara usaha reformasi dalam perkhidmatan kerajaan, dan fasa kedua dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Tambahnya, pusingan kerja itu penting bagi mengelakkan pegawai berada terlalu lama di satu-satu tempat sehingga boleh menimbulkan pelbagai isu, termasuk risiko ketirisan.
“Pertukaran tidak boleh dilaksanakan secara serentak kerana ada dalam kalangan kakitangan yang masih memerlukan bimbingan daripada pegawai berpengalaman,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan tempoh lima tahun bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.
Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diarahkan untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan semua penjawat awam yang berkhidmat melebihi tempoh tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
