'Tugas penjawat awam bukan hanya duduk di pejabat'

KOTA BHARU - Tugas pegawai awam bukan semata-mata di pejabat tetapi perlu sentiasa turun padang ke kampung-kampung untuk mengambil tahu isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, cabaran perkhidmatan awam kini juga semakin rumit dan sentiasa berubah.
"Saya mengingatkan kepada penjawat awam jangan hanya duduk di pejabat sahaja tetapi perlu mendengar keluh kesah rakyat supaya segala yang dihadapi dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Kampung Telaga Ara, Gunong, Bachok pada Sabtu.
Jelas beliau, program Tautan Perdana yang kini sedang berlangsung di seluruh negara bertujuan mendengar keluhan masyarakat kampung sebelum membantu menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.
Katanya lagi, semua ketua jabatan diberi amanat memilih kampung untuk diubah menjadi lebih baik dalam konteks infrastruktur dan sahsiah penduduk.
Tambah beliau program seperti ini antara cara kerajaan memaklumkan pegawai awam mengenai peranan dan tugas hakiki mereka iaitu mendekati dan menyantuni rakyat.
Katanya lagi, lapan skop dijadikan tumpuan bagi program berkenaan termasuk aspek infrastruktur.
"Kita tidak diberikan peruntukan khusus untuk menaik taraf kemudahan yang ada," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau perkara itu tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk kita turun padang dan membantu masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
