MKLSB lapor polis insiden kerosakan aset

Antara kerosakan yang berlaku di Menara Kuala Lumpur.
Antara kerosakan yang berlaku di Menara Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd telah membuat laporan polis berhubung insiden kerosakan serta kemusnahan terhadap harta milik syarikat itu, pada Jumaat.

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, laporan tersebut dibuat bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur khianat yang disengajakan.

“Kami mengharapkan siasatan lanjut dapat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur khianat yang disengajakan terhadap harta milik MKLSB.

“Sekiranya siasatan membuktikan wujudnya unsur khianat, tindakan susulan yang sewajarnya hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Tambah Abdul Hamid, tindakan merosakkan atau memusnahkan harta milik MKLSB adalah satu perbuatan tidak beretika dan mencerminkan sikap tidak profesional yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mendakwa sebelum ini terdapat insiden kakitangan MKLSB menerima ugutan untuk dicederakan.

“Kami berharap PDRM mengambil tindakan yang tegas dan telus terhadap laporan yang telah dikemukakan,” tegasnya.

Bangunan Menara Kuala Lumpur sebelum ini dilaporkan akan ditutup buat sementara waktu bermula Khamis lepas untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Kementerian Komunikasi memaklumkan, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Komunikasi turut menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan dan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraannya diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!