SPRM latih 27 pengarah jadi jurucakap barisan hadapan

BANGI - Seramai 27 Pengarah Bahagian dan Negeri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pendedahan ilmu komunikasi menerusi Kursus Jurucakap Berkesan, bagi memperkukuh peranan mereka sebagai jurucakap yang cekap dan meyakinkan.
Kursus selama tiga hari itu dianjurkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dan Institut Akhbar Malaysia (MPI), bertempat di sebuah hotel, di sini.
Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, program berkenaan dirangka dengan objektif yang strategik serta selari dengan keperluan semasa organisasi dalam memperkukuh komunikasi berkesan.
“Sebagai barisan hadapan SPRM, para pengarah bukan sahaja memimpin operasi, pencegahan dan pengurusan, malah turut menjadi tumpuan media serta masyarakat.
“Pelaksanaan kursus ini diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam mengurus komunikasi media serta membangunkan strategi komunikasi yang lebih efektif,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutupan kursus berkenaan, pada Jumaat.

Menurut beliau, adalah menjadi hasrat SPRM agar para pengarah bersedia mengendalikan permintaan media secara langsung, tanpa bergantung sepenuhnya kepada Bahagian Komunikasi Strategik.
“Kemahiran ini penting bagi memastikan SPRM mampu memberikan respons pantas terhadap isu-isu semasa, sekali gus menunjukkan kecekapan organisasi dalam menghadapi cabaran komunikasi.
“Kursus ini menyaksikan para pengarah menerima latihan teori dan praktikal daripada dua tokoh penyiaran tanah air yang berpengalaman luas dalam bidang komunikasi massa,” ujarnya.
Antara pengisian utama kursus dikendalikan oleh mantan personaliti TV3, Nizal Mohammad, yang menyampaikan topik berkaitan Membina Personaliti Dinamik Seorang Jurucakap, Memahami dan Membina Hubungan Efektif dengan Media, serta penguasaan elemen 3V dalam komunikasi, iaitu verbal, vokal dan visual.
Turut serta, penyampai berita dan penerbit Astro AWANI, Luqman Hariz, yang mengendalikan sesi simulasi temu bual televisyen, sidang media, temu bual spontan serta rakaman podcast.
Latihan ini membolehkan para pengarah memahami secara langsung suasana sebenar ketika berhadapan dengan pihak media dan cara menyampaikan maklumat secara jelas, tepat serta profesional.
Kehadiran dua tokoh media tersebut turut memperkukuh nilai praktikal dalam kursus, apabila peserta berpeluang menjalani latihan secara langsung yang membina keyakinan dan kemahiran komunikasi merentas pelbagai platform.
Majlis turut dihadiri Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail; serta Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Kursus ini dilihat sebagai antara usaha berterusan SPRM dalam memperkasakan wibawa serta keterbukaan penyampaian maklumat kepada rakyat, sejajar dengan prinsip ketelusan dan integriti yang menjadi teras agensi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

