Bangi Fresco sediakan kemudahan hub runcit, atur ruang sosial masyarakat

PEMBANGUNAN Bangi Fresco di Bandar Puteri Bangi menyediakan hab runcit yang bertenaga bagi melengkapi kediaman sedia ada dengan kemudahan serta keperluan masyarakat terutama kawasan Lembah Klang Selatan.
Keluasan kawasan yang menjangkau 4.98 hektar itu menampilkan 100,000 kaki persegi kemudahan runcit selain terdapat 24 kedai dan lima kedai makan di tepi tasik, ruang makan di kawasan terbuka, empat kedai pandu lalu serta pasar raya premium seluas 19,000 kaki persegi.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan berkata, Bangi Fresco mengukuhkan pendekatan pembangunan holistik syarikat, seiring dengan kejayaan pusat membeli-belah Sierra Fresco di 16 Sierra, Puchong South.
Menurutnya, Bangi Fresco turut dilengkapi dengan dewan seluas 10,000 kaki persegi sebagai ruang sosial untuk komuniti berkumpul, di samping pusat sukan.

“Projek Bangi Fresco mengukuhkan pendekatan pembangunan holistik IOIPG di Bandar Puteri Bangi selain memenuhi keperluan penduduk bandar yang semakin meningkat dan komuniti sekitarnya dengan rangkaian tawaran runcit komprehensif.
"Kami mengenal pasti permintaan tinggi terhadap pengalaman membeli-belah dan ruang makan berkonsep premium di kawasan ini.
"Oleh itu, kami melabur lebih RM30 juta untuk membangunkan ruang runcit terbuka dengan reka bentuk yang mengutamakan pencahayaan semula jadi, pengudaraan baik serta kemudahan berjalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bangi Fresco yang terletak berhampiran IOI Galleria @ Bandar Puteri Bangi mempunyai akses strategik melalui Jalan Mahkota 1, dengan sambungan ke Laman Puteri 1, Laman Puteri 2 dan Persiaran Mahkota 1.
Dengan lebih 350 tempat letak kereta, lokasi itu berupaya menampung kehadiran pengunjung yang ramai jika terdapat penganjuran acara berskala besar.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar bagi Bangi & Sepang, Wong Peng Fook, dengan mencipta bandar yang lengkap, ia akan memberi kemudahan dan pengalaman menarik kepada pemilik rumah.
Tambah beliau, selain pasar raya, kawasan Bangi Fresco juga berhampiran dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Universiti Islam Selangor, Universiti Nilai dan Hospital Pakar An-Nur.
Jelasnya, projek tersebut juga terletak di luar Persimpangan Putra Mahkota Lebuhraya Utara-Selatan selain mempunyai akses ke laluan utama seperti Lebuhraya Kajang-Seremban, Lebuhraya Lembah Klang Selatan dan Jalan Bangi Lama yang menghubungkan lebih banyak komuniti di sekitarnya.
"Kami mencipta bandar dengan segala-galanya untuk kemudahan pemilik dan penduduk, seperti pasar raya Lotus betul-betul di sebelah IOI Galleria.
“Hab komersial kami menampilkan rangkaian pengendali tempatan yang bertenaga seperti The Grid Coffee, Hana Valley dan Echogym Centre di mana orang ramai boleh menjamu selera, membeli-belah dan bermain.
"Sebagai sebahagian daripada Bandar Puteri Bangi, Bangi Fresco akan memanfaatkan lokasi strategik perbandaran hanya 30 minit dari Kuala Lumpur. Ini akan memacu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!