Terharu masih diingati sebagai anak murid

Yudith (kanan) terharu masih diingati bekas gurunya yang juga calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri.
Yudith (kanan) terharu masih diingati bekas gurunya yang juga calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri.
A
A
A

TAPAH - "Saya ada anak murid duduk di sini."

Ungkapan itu kedengaran biasa, namun cukup memberi makna kepada Yudith Ngah Shaari, 43, yang merupakan bekas murid kepada Dr Mohamad Yusri Bakri.

Dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam di sini, calon Barisan Nasional (BN) tersebut terus mencari kelibat anak muridnya itu.

Yudith ketika ditemui mengakui terkejut dan sama sekali tidak menyangka bahawa Mohamad Yusri yang mesra disapa Ustaz Yusri masih mengingati dirinya meskipun alam persekolahan telah berlalu lebih 30 tahun.

"Ustaz Yusri mengajar saya dari Tahun Satu hingga Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti. Kalau tak silap saya subjek Pendidikan Moral.

"Kalau dalam kelas, ustaz memang serius dan tegas, tetapi habis mengajar, boleh diajak bergurau," katanya.

Yudith berkata, pemilihan Mohamad Yusri sebagai calon dalam PRK ini merupakan satu kebanggaan kepada bekas anak murid sepertinya.

"Ustaz dari dulu sikapnya memang mesra dengan semua orang, tak kira apa bangsa dan agama, semua diberi layanan yang sama," katanya.

Bekas guru dan pensyarah berusia 54 tahun itu menjadi sandaran BN untuk mengekalkan kerusi di DUN Ayer Kuning.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, daripada BN pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!