‘Port’ sarapan anak jati Tapah selama 60 tahun

TAPAH - Siapa sangka deretan kedai makan bersebelahan Stesen Bas Tapah menjadi lokasi wajib untuk anak tempatan dan pengunjung luar sarapan pagi serta makan tengah hari.
Paling mengujakan, premis berkenaan bertahan selama lebih 60 tahun dan menjadi tempat persinggahan orang ramai sehingga kini.
Pemilik gerai, Nurhayati Che Ros, 63, berkata, premis perniagaan tersebut mulai wujud sejak dia berusia 12 tahun dan ketika itu arwah ibu menjual menu sarapan pagi antaranya nasi lemak, mi kari, mi rebus, mi wantan kicap serta laksa.

Menurutnya yang mesra dipanggil Cik Ti, kesemua pemilik gerai di premis berkenaan hanya menyambung legasi keluarga masing-masing dan tetap menjual menu sama, membuatkan pengunjung daripada pelbagai generasi dapat merasai air tangan ‘orang lama’.
“Premis kedai di sini dah lama dibuka sejak 1955 iaitu zaman arwah mak saya meniaga lagi. Jadi, saya dan suami ambil alih perniagaan pada 1985 dan tetap jual menu sama.
“Makanan paling dicari pengunjung sudah tentulah laksa Cik Ti, sebut sahaja nama mesti anak jati Tapah dan pelanggan tetap tahu.
“Sebelum Covid-19, kami buka sampai 5 petang, tetapi sekarang setakat jam 1 tengah hari sahaja. Sejak dahulu lagi ‘port’ makan ini ramai orang singgah kerana ia berada di tengah-tengah bandar, berdekatan stesen bas dan murid sekolah sekitar sini pun datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, peniaga mi wantan kicap, Nuriman Zuraidi, 26, mengakui deretan kedai makan bersebelahan Stesen Bas Tapah tersebut tidak pernah putus dengan kehadiran orang awam sejak dahulu lagi.
Tambahnya, dia mengambil alih legasi perniagaan keluarga kerana menu yang tersedia sudah sebati dan ikonik dengan penduduk tempatan.
“Boleh dikatakan ini warisan keluarga dan sekarang saya yang menguruskan kedai makan.
“Anak jati Tapah yang suka makan di sini waktu kecil kemudian berhijrah ke bandar pun akan datang semula ke kedai ini setiap kali balik kampung, seakan-akan mengimbau kenangan lama semasa bersekolah dahulu.
“Tambahan pula, sepanjang musim pilihan raya memang ramai pengunjung luar datang, mereka tercari-cari makanan apa yang sedap di Tapah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

