Adakah rakyat bimbang pelaksanaan tarif AS?
MUKADIMAH
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 2 April lalu mengumumkan pelaksanaan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara manakala duti import lebih tinggi dikenakan terhadap beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
Bagaimanapun, AS memberi penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan tarif itu kepada 75 negara, termasuk Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan kebimbangan berhubung kesan langsung tarif import AS terhadap hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan China.
Beliau berkata, meskipun akan ada ketidaktentuan ekonomi akibat langkah kenaikan tarif tersebut dalam tempoh jangka pendek, namun keputusan pelaburan yang akan menjana daya saing ekonomi pada masa akan datang adalah keputusan jangka panjang.
Bagaimanapun, orang ramai memberikan pelbagai reaksi mengenai pelaksanaan tarif tersebut.
NEGATIF
Ramai berisiko hilang kerja
Sejujurnya, saya memang risau bila dengar tentang pelaksanaan tarif oleh AS terhadap negara luar termasuk Malaysia. Perkara ini bukan isu besar kepada pemimpin atasan sahaja, rakyat biasa macam saya pun boleh rasa kesannya.
Pertama sekali, bila tarif naik, barang-barang yang kita eksport ke AS akan jadi lebih mahal. Bila dah mahal, kuranglah orang sana nak beli.
Produk kita pun jadi tak kompetitif dibandingkan dengan negara lain. Lama-lama, eksport kita boleh jatuh dan ini boleh jejaskan syarikat-syarikat tempatan, terutamanya dalam sektor pembuatan.
Bila syarikat kurang untung, risiko pekerja hilang kerja pun makin tinggi. Lepas itu, kita kena tengok juga hubungan dagang kita dengan China.
Malaysia ni ibarat berada di tengah-tengah, kalau kita terlalu condong ke satu pihak, macam AS, takut nanti China pula terasa dan ambil tindakan balas. Dah jadi rumit hubungan dagang kita.
Selain itu, pelabur asing pun mungkin akan tarik diri atau tunggu dulu sebelum labur di Malaysia. Bila ekonomi tak stabil, pelabur akan lebih berhati-hati.
Jangan lupa, kita sebagai pengguna pun akan kena tempiasnya. Bila kos import naik, harga barang dalam negara pun naik. Barang dapur, barangan keperluan harian dan sebagainya, semua boleh jadi mahal.
- Pekerja swasta, Aishah Abu Bakar, 28
Jejaskan hasil eksport negara, rantaian global
Sebagai rakyat Malaysia, saya sememangnya bimbang dengan kesan pelaksanaan tarif AS tersebut terhadap negara, terutamanya dari sudut ekonomi, perdagangan dan kestabilan jangka panjang.
Malaysia ialah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa terutamanya dalam sektor eksport seperti elektronik, minyak sawit dan produk perkilangan.
Dengan pelaksanaan tarif oleh AS, kos produk barangan tempatan akan jadi lebih mahal di pasaran mereka. Ini menyebabkan permintaan menurun, seterusnya menjejaskan hasil eksport negara.
Kenaikan tarif ini bukan sahaja memberi kesan secara langsung kepada eksport Malaysia ke AS, malah juga boleh memberi impak kepada hubungan dagangan kita dengan negara lain, seperti China.
Oleh kerana Malaysia terlibat dalam rantaian bekalan global terutamanya dalam sektor teknologi sebarang ketidaktentuan dalam hubungan dagangan China dan AS boleh menjejaskan kestabilan rantaian ini dan akhirnya merugikan kita.
Harga barangan import boleh meningkat, pekerjaan mungkin berkurangan dan inflasi boleh berlaku. Ini akan membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Oleh itu, saya berharap kerajaan akan mengambil langkah strategik untuk mengurangkan kesan negatif dan merancang dasar jangka panjang yang boleh membawa manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
- Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mohd Raimi Ismail, 26
POSITIF
Beri ruang kerajaan perkukuh ekonomi negara
Secara peribadi, saya masih belum merasai kesan secara langsung daripada pelaksanaan tarif oleh AS terhadap Malaysia.
Saya lihat, buat masa ini keluhan yang timbul kebanyakannya datang daripada sektor tertentu sahaja, terutamanya sektor pembuatan yang bergantung besar kepada eksport ke AS.
Mereka sudah mula rasa tekanan kerana kos operasi mungkin meningkat, manakala permintaan dari luar negara pula boleh menurun.
Saya tidak menafikan bahawa dalam tempoh tertentu nanti, kita mungkin mula merasai kesannya sama ada dari segi kenaikan harga barang atau gangguan bekalan.
Namun, saya rasa kesannya masih belum seteruk yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
Saya percaya kerajaan masih mempunyai ruang dan masa, terutamanya dalam tempoh 90 hari yang kritikal ini untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara.
Banyak langkah proaktif boleh diambil seperti mencari pasaran eksport baharu, memberi insentif kepada industri tempatan atau percepatkan dasar pemulihan ekonomi.
Yang penting kita sebagai rakyat perlu bersabar dan beri ruang kepada kerajaan untuk buat pertimbangan.
- Penganalisis maklumat, Shahrin Iman, 28
Kesan belum terasa, tidak perlu terlalu panik
Pada saya masih terlalu awal untuk rasa bimbang kerana kesan pelaksanaan tarif oleh AS ini belum terasa sekarang.
Dalam beberapa bulan akan datang, mungkin akan nampak perubahan ketara terutamanya dari segi kenaikan harga dan kos sara hidup.
Dari segi harga barang pula, saya perhatikan memang ada peniaga yang sudah mula naikkan harga, walaupun pelaksanaan tarif belum pun bermula sepenuhnya.
Baru-baru ini ketika saya membeli nasi lemak, harga biasa RM7 tetapi tiba-tiba sudah naik RM9.
Bila saya tanya, peniaga tersebut menjawab kerana AS sudah kenakan tarif, jadi barang semua naik harga.
Ini menunjukkan ada peniaga yang ambil kesempatan untuk naikkan harga lebih awal. Bagi saya, barang-barang keperluan asas seperti minyak, beras dan gula sepatutnya tidak terkesan, sebab kita bukan import barang-barang ini dari AS.
Namun disebabkan pengaruh AS sebagai kuasa ekonomi dunia, apa saja perubahan dari sana tetap akan beri kesan kepada seluruh rantaian ekonomi global sama ada secara langsung atau tidak.
Secara peribadi, saya juga bekerja dengan syarikat multinasional yang berpusat di AS, jadi secara tidak langsung pelaksanaan tarif berkenaan akan memberi kesan kepada operasi syarikat dan kerjaya saya sendiri.
- Penganalisis akaun, Nor Ashikin Anuwa, 42
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

