Penjaga kandang kambing antara 5 ditahan edar dadah

Dadah bersama barangan lain yang rampas serta disita selepas polis menahan lima lelaki pada petang Khamis.
Dadah bersama barangan lain yang rampas serta disita selepas polis menahan lima lelaki pada petang Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pemandu e-hailing dan penjaga kandang kambing antara lima lelaki yang ditahan Polis Pulau Pinang kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Kesemua mereka ditahan bersama bersama beberapa jenis dadah bernilai RM155,010 pada petang Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kelima-lima lelaki warga tempatan itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sekitar negeri ini, antara jam 1.30 hingga 2.45 petang.

Menurutnya, dalam tangkapan tersebut, polis merampas 9,736 gram heroin dan 1,545 gram syabu.

"Sebanyak lima serbuan berasingan dilakukan dan kita berjaya menahan lima lelaki berusia lingkungan 33 hingga 50 tahun yang disyaki terlibat dengan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu.

"Suspek pertama tidak bekerja, suspek kedua bekerja sebagai pengawal keselamatan, suspek ketiga merupakan penjaga kandang kambing, suspek keempat pemandu e-hailing manakala suspek kelima merupakan seorang peniaga," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hamzah berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah (SPT).

"Dalam serbuan itu, kita merampas satu peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 251 gram dan dua peket plastik lutsinar berisi hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 106 gram," katanya

Tambah beliau, dengan dipandu arah oleh suspek pertama, polis telah dibawa ke kawasan berhampiran dan berjaya membuat rampasan dadah iaitu 21 peket plastik mengandungi 9,485 gram heroin, satu peket plastik lut sinar mengandungi 1,030 gram syabu dan empat peket berisi 409 gram syabu.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan susulan telah dibuat yang mana polis telah membuat serbuan berasingan dan berjaya menangkap tiga lelaki tempatan yang dipercayai ahli sindiket ini di kawasan SPT dan Seberang Perai Selatan.

"Kita turut menyita tujuh buah kenderaan antaranya Honda CRV, Mercedes, Mazda dan Vellfire. Turut disita barang kemas dan beberapa utas jam berjenama yang mana, jumlah keseluruhan sitaan adalah RM860,350," katanya.

Hamzah menambah, jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dadah ialah RM1.02 juta.

"Hasil risikan mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dan kesemua bekalan dadah ini untuk pasaran tempatan. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 56,000 penagih.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua tangkapan positif dadah. Semakan juga mendapati tiga tangkapan mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah," katanya.

Jelas beliau lagi, kesemua tangkapan ditahan reman tujuh hari bermula 18 hingga 24 April untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

"Kita akan terus berusaha meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan kegiatan aktiviti dadah dibanteras habis-habisan. Kolaborasi bersama lain-lain agensi akan diadakan dalam perkongsian maklumat serta pembanterasan dadah secara menyeluruh," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!