Polis tumpaskan sindiket pengedaran ganja

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di negeri selepas menahan dua lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di kawasan Seberang Perai Tengah pada Jumaat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas ganja seberat 23,292 gram yang bernilai RM68,000.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di kawasan Seberang Jaya dengan menahan seorang lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 0.45 gram.
"Dengan dipandu arah oleh suspek ke kawasan berhampiran telah berjaya membuat rampasan tiga buah kotak yang dalamnya berisi ketulan mampat ganja.
"Susulan itu ia membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek yang merupakan ahli sindiket juga di kawasan Seberang Perai Tengah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Hamzah berkata, hasil siasatan polis mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal tahun ini dan mengedar dadah terbabit untuk pasaran tempatan.
Selain dadah, Hamzah berkata, pihaknya turut merampas tujuh buah kenderaan, pelbagai barang kemas dan jam tangan berjenama daripada kedua-dua suspek yang jumlah keseluruhannya bernilai RM35,000.
"Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah selain mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.
"Suspek yang masing-masing berusia 31 dan 53 tahun itu kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
