Pegawai polis ditahan, ambil dadah ketika berhibur

AMPANG - Padah mengambil jus disyaki mengandungi dadah ketika berhibur, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Jumaat lalu.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam serbuan kira-kira jam 5.05 petang, susulan aduan dan maklumat yang diterima.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan siasatan dijalankan oleh Polis Kontinjen Selangor.
"Suspek telah direman selama dua hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

