Remaja derita penyakit ketumbuhan di bawah kelopak mata

SETIU - "Saya mahu sihat seperti orang lain, tak nak lagi diselubungi rasa malu kerana keadaan mata saya."
Demikian luahan seorang remaja, Tuan Nur Aleya Afisya Tuan Khairulanuar, 17, yang diuji dengan penyakit ketumbuhan di bawah kelopak mata sejak lahir.
Ketumbuhan di kelopak mata kirinya itu menyebabkan penglihatannya terjejas dan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan mata kanan untuk melihat.
"Mata kiri saya sangat sensitif, sering berair dan kadangkala bercampur darah. Ia buat saya rasa sakit.
"Bengkak bawah mata juga makin hari makin besar. Saya tak dapat lagi buka mata dan pipi kiri turut bengkak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Serai dekat Guntung di sini baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia menjalani rawatan berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan disarankan menjalani pembedahan selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.
"Saya mahu kembali sihat, tidak mahu lagi dilihat pelik oleh orang luar sampai rasa malu nak keluar rumah.
"Saya nekad jalani pembedahan supaya penglihatan saya pulih dan saya boleh capai cita-cita untuk sambung belajar dalam bidang kemahiran,” katanya.
Dalam pada itu, bapanya, Tuan Khairulanuar Tuan Cob, 47, berkata, dia tidak pernah berputus asa mencari rawatan terbaik untuk anaknya itu termasuk mencuba pelbagai kaedah, sama ada moden atau tradisional.
"Sejak kecil saya usaha sebaik mungkin untuk pastikan dia dapat rawatan terbaik dan berharap dia akan kembali sihat sama seperti remaja lain," katanya.
Sementara itu, neneknya, Wan Aishah Wan Ibrahim, 64, mengakui hatinya pilu setiap kali melihat cucu sulungnya itu menanggung kesakitan.
Bagaimanapun, katanya, dia kagum melihat semangat tinggi yang ditunjukkan Aleya walaupun diuji sakit sejak kecil.
"Saya jaga Aleya sejak lahir dan sampai sekarang saya akan teman dia setiap kali dia masuk hospital. Memang saya sedih setiap kali tengok dia sakit.
"Walaupun dia diuji sedemikian rupa, Aleya tidak pernah patah semangat," luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!